Tuesday, July 26, 2011

Galak pelajar minati Matematik, Sains

TEKNIK belajar sambil bermain atau edutainment kini semakin meluas penggunaannya dalam meningkatkan minat pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran.

Justeru, Hezmedia Interactive Sdn. Bhd. (Hezmedia Interactive) dengan kerjasama Yayasan Angkasawan Malaysia (YAM) menggunakan pendekatan tersebut untuk Fun Math Camp 2011 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Selatan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengarah Urusan Hezmedia Interactive, Mohd. Hezri Amir Abd. Latiff berkata, bengkel yang dijalankan selama satu hari itu merupakan satu pembaharuan daripada teknik pembelajaran konvensional kepada konsep edutainment.

"Bengkel ini diadakan bertujuan membangkitkan minat dan kesedaran tentang kepentingan subjek Matematik di kalangan pelajar seterusnya menjurus kepada pencapaian akademik yang lebih baik untuk jangka masa panjang," jelasnya.

Menurut beliau, pihaknya cuba menyumbang dengan memberi impak di dalam sistem pendidikan melalui pembelajaran secara interaktif selaras dengan arus kepesatan zaman teknologi dan inovasi masa kini.

Pada program itu, 227 pelajar tingkatan satu sekolah berkenaan diberi peluang merasai pengalaman menjalani aktiviti bengkel yang padat dengan permainan interaktif menggunakan komputer dan aktiviti menarik yang dikendalikan oleh beberapa fasilitator berpengalaman.

Mohd. Hezri memberitahu, pelajar digalakkan untuk menyelesaikan masalah Matematik dan Sains yang biasa dilalui dalam aktiviti seharian dan cuba mempraktikkan konsep-konsep yang telah mereka pelajari untuk menyelesaikan masalah secara berkumpulan.

"Bengkel ini bukan sahaja menggalakkan peserta menggunakan pemikiran kritis tetapi juga meningkatkan kemahiran interpersonal dan sifat berdaya saing di kalangan para peserta," terangnya.

Sementara itu, Pengetua SMK Seri Bintang Selatan, Roaini Jaafar berkata, bengkel Fun Math Camp ini dapat memupuk kaedah pendidikan awal secara inovasi kepada generasi muda.

"Mata pelajaran Sains dan Matematik penting bagi menyediakan tenaga kerja yang sesuai dengan perkembangan dan keperluan sesebuah negara maju.

"Peranan ilmu sains dan matematik dalam memajukan tamadun manusia menjadikannya suatu bidang yang dinamik dan dianggap sebagai jentera atau penggerak kepada pembangunan dan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi," katanya.

Utusan Malaysia : 25/07/2011

00Oo ------------------------------------------------------------------- 00Oo

Komen : Memang murid akan tertarik dan tidak mudah untuk berasa tertekan jika menggunakan teknik permainan. Ini adalah berdasarkan pengalaman sendiri. Murid akan lebih seronok dan dapat menambah kemahiran lain seperti kemahiran berkomunikasi antara rakan. Pastikan aktiviti berkumpulan disertai oleh murid yang berlainan kelompok. Maklum sajalah ada dikalangan murid ini mempunyai 'klik' tersendiri dan tidak mudah bercampur dengan rakan yang lain. Namun guru perlu membuat persediaan rapi sebelum aktiviti melalui permainan dilakukan.


No comments:

Post a Comment