Sunday, July 31, 2011

UTM teratas di Malaysia,100 terbaik Asia

KUALA LUMPUR 30 Julai - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan terus memberi tumpuan kepada strategi kepelbagaian dan berprestasi tinggi bagi membolehkan institusi pengajian tinggi (IPT) itu berfungsi dengan lebih lancar, terarah dan berdaya saing.

Hal ini berikutan kenyataan oleh dua laman web yang menjalankan kajian mengenai kedudukan universiti dunia iaitu Webometrics (www.webometrics.info) dan 4 International Colleges & Universities (www.4icu.org) mendapati UTM menduduki tempat teratas dalam kedudukan IPT di Malaysia.

Berdasarkan kedua-dua laman web itu, universiti tersebut juga berjaya melakar sejarah baharu dalam bidang pendidikan negara apabila menjadi satu-satunya IPT negara dalam senarai 100 Universiti Terbaik di Asia dan berada di tempat ke-280 dalam penarafan dunia.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, kejayaan UTM menduduki tangga teratas di Malaysia dalam kedua-dua ranking itu adalah hasil kerja berpasukan dan semangat kerja yang tinggi di kalangan warga IPT itu termasuklah golongan akademik, bukan akademik dan mahasiswa.

Katanya, kajian tersebut dijalankan menggunakan kaedah penilaian laman web untuk menentukan pencapaian universiti dari segi kandungan bahan, rujukan, visibiliti dan kesarjanaan menerusi aktiviti yang menggunakan ruang siber.

"Andaiannya, universiti yang menduduki ranking terbaik selalu dirujuk dan dijadikan panduan berdasarkan kepada kandungan dan kesarjanaan warga universiti tersebut. Dalam konteks moden, kaedah rujukan dilakukan secara maya.

"Penarafan tersebut bukan sahaja merupakan kejayaan kepada UTM tetapi ia juga adalah satu kebanggaan kepada negara," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kejayaan UTM menduduki tempat teratas dalam kalangan IPT di Malaysia dan menempatkan diri dalam kelompok 100 terbaik Asia serta berada pada kedudukan ke-280 dalam senarai universiti terbaik dunia.

Penarafan webometrik melibatkan 20,000 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia di mana 10 tangga teratas dibolot oleh universiti dari Amerika Syarikat menerusi Institut Teknologi Massachusetts (MIT), disusuli oleh Harvard, Stanford, Cornell, Berkeley, Michigan, Wisconsin Madison, Washington, Minessota dan Pennsylvania.

Sementara itu, penarafan 4icu pula melibatkan 10,200 IPT di 200 negara di mana MIT berada di kedudukan pertama, diikuti Universiti Texas, Universiti Michigan di tempat ketiga manakala Universiti Harvard dan Cambridge pula masing-masing di kedudukan ketujuh serta kesepuluh.

00Oo ------------------------------------------------------------------- 00Oo

komen : kalau sebelum neh UTM juga berada di kelompok 3 terbaik (baca sini), kali neh UTM juga mendapat nama berada di kedudukan terbaik yang sudah pastinya membanggakan sesiapa saja yang pernah belajar di situ. Memang anugerah ini sesuai untuk UTM kerana di UTM memang banyak jurnal atau hasil kajian yang boleh dicari di internet dan ianya percuma.

Lagi info ada di http://www.nst.com.my/nst/articles/35utm-2-2a/Article#ixzz1TcF3LFqt

No comments:

Post a Comment