Saturday, August 13, 2011

ALFATIHAH BUAT PUAN HAJJAH KHUZAINAH BINTI OMAR

Pagi selepas subuh pada 13 Ogos 2011 sekitar jam 06:37, admin telah menerima sms yang bertulis "Salam untuk makluman dengan rasa dukacita kita kehilangan rakan kita hjh Khuzainah yg telah kembali kerahmatullah malam tadi kerana kemalangan di Taman Universiti...... "

Sejak admin bertugas hampir 7 tahun, inilah kejadian pertama rakan sekerja meninggal dunia. Tidak pernah berlaku lagi sebelum ini rakan sekerja yang selalu kita nampak di pejabat akan pergi jua tanpa sebarang petanda. Admin menyifatkan arwah sebagai seorang yang pendiam, lemah-lembut dan memiliki sifat keibuan yang tinggi sesuai dengan kerjayanya sebagai seorang guru.

Beliau dilahirkan pada 25 Jun 1959 dan memulakan kerjaya sebagai seorang guru di SK Sri Kembar pada 01 Mei 1981 dan bertugas di beberapa buah sekolah selepas itu. Antara sekolah yang beliau pernah berkhidmat adalah seperti berikut:

  1. SK sri Kembar, 01.05.1981
  2. SK Parit Markom, 01.01.1982
  3. SK Sekawan Desa, 01.01.1983
  4. SK Muzaffar Syah, Kota Tinggi, 01.01.1986
  5. SK Bandar Pontian, 01.01.1998
  6. SK Taman Universiti 4, 01.06.2009

Beliau mula bertugas bersama admin pada 01 Jun 2009 dan mengajar Bahasa Inggeris. Walaupun tidak selalu berjumpa dan bertegur sapa kerana pada waktu itu beliau mengajar di sesi yang berbeza dengan admin, tetapi setelah sekolah menjadi satu sesi, kehilangannya sangat terasa kerana hubungan silaturrahim dikalangan kami semakin erat.

Takziah diucapkan kepada keluarga arwah. Moga tabah menerima jemputan-Nya terutama anaknya yang berada di tahun 6. Sungguh kuat ujian yang dihadapi kerana peperiksaan UPSR tidak lama lagi iaitu lebih kurang sebulan sahaja lagi (13 September).

Buat anak didik arwah, terimalah ketentuan ini. Akan ada pengganti untuk mendidik kamu nanti.

Bersamalah kita sedekahkan Al-Fatihah buat roh arwah. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.





Guru maut dilanggar lari

JOHOR BAHRU 13 Ogos – Seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Universiti 4 maut selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari di Jalan Pendidikan, Taman Universiti di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 8.35 malam itu, mangsa, Khuzainah Omar, 52, dikatakan keluar dari rumahnya di Jalan Pertanian, untuk ke kedai dengan menunggang motosikal.

Bagaimanapun, motosikal jenis Suzuki yang baru dibeli mangsa bulan lalu, dipercayai bergesel dengan sebuah kereta Honda Accord berwarna biru sebelum mangsa terjatuh dan pemandu kereta bertindak melarikan diri.

Suami mangsa, Mohammad Amir Marjonid, 52, berkata, ketika kejadian dia ke masjid untuk menunaikan solat tarawih sebelum dimaklumkan kejadian tersebut oleh anak sulungnya, Khairul Bariyah, 24.

“Bila saya pergi ke tempat kejadian, keadaan dia (isteri) agak parah sebelum dia dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Bagaimanapun, doktor yang merawatnya memaklumkan isteri saya sudah meninggal dunia pukul 2.45 pagi,” katanya kepada pemberita di pekarangan bilik mayat HSA di sini, hari ini.

Mohammad Amir yang merupakan Guru Besar Sekolah Agama Taman Universiti berkata, isterinya yang mengajar subjek Bahasa Inggeris tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak akhir-akhir ini.

Khairul Bariyah pula berkata, ibunya yang mempunyai enam anak berusia 12 hingga 24 tahun itu selalu keluar rumah menaiki kereta namun semalam, bapanya menggunakan kenderaan tersebut untuk ke masjid.

“Ibu jarang menunggang motosikal yang baru dibeli itu. Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan agak terkilan kerana tidak sempat menyambut Aidilfitri bersamanya,” katanya.

Jenazah mangsa dibawa ke kampung halamannya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Masjid di Pontian sebelum solat Zohor.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan insiden itu merupakan kemalangan langgar lari berdasarkan penemuan beberapa serpihan kereta di lokasi.


No comments:

Post a Comment