Friday, August 19, 2011

Ayam Pangkung di Johor ?

Sedap tak ayam goreng yang admin letak kat sebelah kiri neh ? Mesti sedap kan ... masa dah berbuka memang la tak rasa sangat sedap. Tapi kalau masa tengah hari terutama masa jam 2 petang ke atas tuh mesti perut berbunyi bila tengok gambar ayam goreng madu kat sebelah neh. Masa tuh lah badan dah gigil nak makan... sabar.. tuh semua cabaran ibadah puasa.

Tapikan kalau admin kata ayam tuh ayam pangkung korang nak makan tak? Rasanya kalau diberi free pon tak akan jamah ayam tuh sebab tak halal. Tapikan cuba korang baca surat khabar kat Metro neh. Baca juga sumber dari pelbagai sumber untuk menambah pengetahuan korang.



Berita 1 : Harian Metro 19 Ogos 2011 : sumber di sini

Penyembelihan 60,000 ayam segar diragui

JOHOR BAHARU: Daripada 200,000 bekalan ayam segar yang dikeluarkan di Johor setiap hari, kesucian 30 peratus daripadanya diragui kerana ada pengusaha pusat penyembelihan tidak mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Johor (JAJ).

Penolong Pengarah Penyelidikan Unit Halal JAJ, Samsudin Paimi, berkata terdapat beratus-ratus peniaga yang memasarkan kira-kira 60,000 ayam segar setiap hari yang kesuciannya diragui.

"Malah ada penyembelihan dilakukan di tempat terbuka yang turut dimasuki anjing dan binatang lain," katanya kepada pemberita selepas serbuan terhadap dua premis penyembelihan dan pemprosesan di Jalan Kampung Sawah dan Jalan Pontian-Johor Baharu di Pontian awal hari ini.

Dalam serbuan dari 1 pagi hingga 3 pagi itu, JAJ mendapati premis terbabit masing-masing tidak melakukan proses penyembelihan dengan kaedah ditetapkan manakala logo halal sudah tamat tempoh sejak empat tahun lalu.

Samsudin berkata JAJ khuatir dengan pertambahan permintaan terhadap ayam segar menjelang Aidilfitri, pengusaha kecil seperti itu semakin berani untuk mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik logo halal tamat tempoh selain tidak mengikut piawaian JAJ.

Turut membimbangkan JAJ, katanya, ialah ramai pengusaha tidak memiliki tauliah penyembelihan selain mempraktikkan kedah penyembelihan dan pemprosesan ayam sambil lewa.

"Kita tidak mahu pengguna terus tertipu dan mereka seharusnya diberi kesedaran untuk hanya memilih ayam yang disahkan halal dan suci," kata Samsudin.

Beliau berkata pemeriksaan akan terus dilakukan bagi melindungi kepentingan pengguna.

Samsudin berkata JAJ sudah mewajibkan pengusaha ayam di Johor membuat label yang akan diletakkan di kepak ayam yang mengandungi maklumat mengenai penyembelihan serta status halalnya.

Mengikut Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 yang akan dikuatkuasakan bermula tahun depan, syarikat yang didapati bersalah menipu sijil halal boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM10 juta bagi kesalahan kedua. - Bernama



Berita 2 : Utusan Malaysia 20 Ogos, 2011 : sumber di sini

Sembelihan 60,000 ayam diragui

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR dan MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

PONTIAN 19 Ogos – Operasi bersepadu pihak berkuasa ke atas tiga buah pusat pemprosesan ayam mendapati dua daripadanya melakukan aktiviti penyembelihan yang tidak menepati syarak serta menggunakan logo halal yang tamat tempoh sejak empat tahun lalu.

Serbuan oleh Pejabat Kadi daerah Pontian, Pejabat Kesihatan Pontian, Jabatan Alam Sekitar negeri serta Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri itu dilakukan bermula pukul 12 tengah malam sehingga 4 pagi, melibatkan dua pusat penyembelihan ayam di Pekan Nanas dan sebuah lagi di bandar Pontian.

Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Unit Halal Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Samsudin Paimi berkata, serbuan dibuat kerana timbul keraguan terhadap status halal kira-kira 60,000 ayam segar di pasaran sekitar negeri daripada 200,000 yang dikeluarkan setiap hari, berikutan pelanggaran piawaian JAIJ.

“Dalam serbuan tersebut, pihak PPDNKKK negeri mengambil tindakan menyita bilik sejuk premis terbabit dan akan membawa kes tersebut ke mahkamah.

“Kita bimbang sekiranya aktiviti seperti ini dibiarkan, ayam yang diragui statusnya ini akan terus dijual kepada restoran dan pengguna beragama Islam di negeri ini apatah lagi menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Turut sama menyertai operasi tersebut ialah Pegawai Tadbir Agama Daerah Pontian, Mohd. Fauzi Bachok.

Jelasnya, ramai peniaga kecil-kecilan mengambil kesempatan mengaut untung dengan menggunakan plastik pembungkus memaparkan logo halal tamat tempoh untuk mengaburi mata pengguna sedangkan JAIJ sudah mewajibkan penggunaan label pada bahagian kepak ayam yang mengandungi maklumat penyembelihan dan status halal.

Kata Samsudin lagi, penguatkuasaan Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (pindaan) 2010 pada tahun depan akan mengenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan maksimum RM10 juta untuk kesalahan kedua jika didapati bersalah menipu sijil halal.



Berita 3 : Sinar Harian : sumber di sini

PULAU PINANG -- Seorang peniaga dan empat anggota keluarganya hari ini memfailkan saman ganti rugi RM1.6 juta terhadap Tesco Stores (M) Sdn Bhd kerana didakwa cuai memastikan produk ayam segar yang siap diproses dan dilabelkan halal, benar-benar halal megikut agama Islam.

Saman itu difailkan oleh Raja Muzaffar Kamar Raja Busu, Lijah Awang Kechik, Raja Kamar Idris Raja Busu, Norhayati Abdullah dan Raja Teh Rahmah Raja Busu.

Writ saman itu difailkan oleh peguam Kamal Razali melalui firma guaman, Badruzzaman & Kamal, Peguambela & Peguamcara, Peguam Syariah di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Raja Muzaffar Kamar yang mewakili empat plaintif lain dari Bayan Baru, memohon ganti rugi am RM1 juta, ganti rugi teladan RM500,000 dan ganti rugi teruk RM100,000.

Beliau turut menuntut surat permohonan maaf secara terbuka oleh defendan kepada semua plaintif kerana mengalami trauma dan maruah plaintif tercalar kerana menjual ayam haram.

Raja Muzaffar Kamar berkata, beliau mengalami trauma dan berasa berdosa kerana memakan ayam yang haram bersama plaintif lain dan memberi makan produk ayam yang haram kepada pelanggan di restoran miliknya di Astaka Gelugor, di sini.

Katanya pada 12 Mac lepas, beliau membeli tiga ekor ayam yang siap disembelih dan dipek dengan bungkusan berjenama HyFresh tertera logo halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Raja Muzaffar Kamar berkata, beliau memasak ayam itu dan sebahagiannya dimakan bersama keluarganya manakala bakinya dijual di premis perniagaannya.

Beliau berkata, ketika membuang sisa ayam itu mereka mendapati kesan sembelihan pada leher ayam berkenaan mencurigakan kehalalannya di sisi Islam dan membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

"Pada 16 Mac lepas, JHEAIPP kemudian membuat siasatan dan merampas ayam berjenama HyFresh di pasar raya itu kerana tidak disembelih mengikut kaedah ditetapkan Islam," katanya.

Katanya pada 31 Mac lepas, Jabatan Mufti Pulau Pinang mengeluarkan surat mengesahkan produk ayam berkenaan tidak disembelih mengikut ketetapan syariat Islam dan haram dimakan oleh orang Islam.


~ KEMASKINI ~


Pusat sembelih ayam masih tiada sijil halal
sumber : Harian Metro : klik sini

KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2011 : Walaupun sudah berulang kali diserbu pihak berkuasa dan diberi ‘tarbiah’, segelintir pemilik pusat pemprosesan ayam di beberapa pasar di sini, berdegil dan enggan membuat permohonan sijil halal.

Lebih membimbangkan apabila pelanggan pusat penyembelihan terbabit bukan saja di kalangan peniaga bukan Islam, malah dipercayai turut dibeli pemborong dan peniaga kecil yang beragama Islam.

Dalam pemeriksaan kira-kira jam 4 pagi semalam, di Pasar Borong Selayang dan Pasar Jinjang, di sini, yang dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati selain tidak mempunyai sijil halal, beberapa aspek penyembelihan turut diabaikan.

Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah, setiap ayam yang disembelih tidak dilakukan pemeriksaan, malah pisau yang digunakan pula tidak dibasuh setiap kali sembelihan.

“Sepatutnya setiap ayam yang disembelih perlu diperiksa untuk memastikan ia benar-benar disembelih dan sah mengikut hukum syarak.

“Malah, hanya dua tukang sembelih yang bekerja dalam dua jam bagi menyembelih 4,000 ayam,” katanya yang turut serta operasi terbabit.

Menurut Jailani, tiga pusat penyembelihan yang diperiksa juga mengabaikan aspek kebersihan iaitu kotor dan menjijikkan apabila ayam mati dilonggokkan di atas lantai.

Bagaimanapun, beliau berkata, dua daripada tiga pusat penyembelihan itu menggunakan khidmat tukang sembelih yang bertauliah dan memiliki kad penyembelihan dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi).

Katanya, hasil pemeriksaan juga mendapati ayam yang dibekalkan mereka tidak sihat dan mungkin berpenyakit berdasarkan bahagian yang lebam dan hitam.

“Permintaan tinggi ketika Ramadan dan menjelang Syawal menyebabkan pengusaha agresif menghabiskan stok ayam sehingga mengabaikan aspek pematuhan halal.

“Atas sebab itu, kami mahu menyedarkan masyarakat dan jabatan agama negeri membuat pemeriksaan dan memantau pusat penyembelihan ayam supaya penguasa yang memiliki sijil halal turut mengambil berat,” katanya.

Operasi itu disertai pegawai Bahagian Pelesenan dan Kesihatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memastikan penguasa memiliki lesen sah dan mematuhi syarat.






0OO0 ------------------------------------------------------------------ 0OO0

komen : makanan halal adalah satu keperluan dan wajib untuk umat Islam. Makanan halal bukan sahaja boleh dimakan oleh mereka yang beragama Islam tetapi boleh juga di makan oleh mereka yang bukan Islam. Maka adalah sangat perlu kesucian makanan yang menjadi darah daging manusia itu diproses dengan sepenuhnya halal. Sangat menyedihkan apabila berita seperti ini berterusan didedahkan oleh akhbar kerana keperluan makanan halal sering kali dinafikan kerana pihak yang tidak sensitif dan hanya mengejar keuntungan.

No comments:

Post a Comment