Sunday, August 7, 2011

Isu Berus Babi : Kenyataan Rasmi Pihak Simplisiti

Seperti yang diketahui, berita mengenai SimplySiti kini sedang tersebar luas tentang produk SimplySiti yang mempunyai berus yang tidak Halal. Untuk mengelakkan berita ini dari terus menjadi tanda tanya, Dato’ Siti Nurhaliza dan pihak pengurusan SimplySiti ingin memberikan informasi kepada semua melalui kenyataan seperti di bawah.

Pihak SimplySiti harap ini dapat membantu untuk menjawab soalan yang kini sedang ditujukan mengenai kesahihan sijil Halal produk SimplySiti. Pihak SimplySiti juga sangat berharap pihak media dan wartawan yang tidak putus menyokong SimplySiti selama ini dapat turut membantu untuk berkongsi kenyataan beliau kepada semua.

KENYATAAN DARIPADA SIMPLYSITI
Merujuk kepada sebaran lampiran yang terdapat di dalam blog, berikut adalah kenyataan daripada SimplySiti. Pihak kami terpaksa membuat kenyataan akhbar lebih awal memandangkan terlalu banyak pihak yang telah menyebarkan spekulasi mengenai hal ini. Kenyataan ini dibuat bagi mengelakkan salah faham orang ramai dan melindungi imej produk kami yang dituduh menggunakan berus babi.

Produk SimplySiti sentiasa mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak JAKIM sebelum sebarang produk kami diberi sesuatu kelulusan Halal. Sebenarnya, produk-produk SimplySiti serta berus yang terdapat di dalamnya yang telah mendapat pengesahan Halal tidak terbabit dengan tuduhan yang dibangkitkan tersebut. Pihak kami selama ini berkerjasama rapat dengan pihak JAKIM dalam setiap proses yang harus dipatuhi sebelum sesuatu produk itu dihasilkan dan dipasarkan untuk kegunaan orang awam.
Sokongan dan bantuan yang kami terima daripada pihak JAKIM amat kami hargai dan kami banyak belajar daripada mereka kerana sebagai perniagaan yang berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk semua, pihak JAKIM adalah rakan dan pihak yang sangat komited dan paling berwibawa dalam menghulurkan khidmat nasihat dan bantuan kepada pengusaha-pengusaha seperti kami terutama sekali dalam proses penghasilan dan pengesahan kualiti sesuatu produk secara amnya, dan untuk piawaian Halal secara khususnya.
Sebab itu proses penghasilan sesuatu produk yang ingin mendapat pengesahan Halal daripada Jakim perlu melalui proses pemeriksaan dan siasatan yang terperinci bukan hanya bagi setiap jenis bahan yang terbabit di dalam pembuatan produk, malahan premis, setiap prosesnya termasuk pengangkutan, simpanan, pengeluaran, para pekerja dan segala-galanya perlu mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak JAKIM.Apa yang berlaku di dalam konteks seperti yang tertera di di dalam blog tersebut adalah tidak benar. Bulu yang dilaporkan di dalam lampiran tersebut BUKANLAH bulu berus yang terdapat di dalam produk SimplySiti tetapi hanyalah berus yang terlibat di dalam kerja pembersihan di kawasan kilang dan kerja-kerja menyamak dan penyucian menurut syarak telahpun dilakukan bagi memastikan tidak ada apa-apa langsung yang tidak suci terdapat di dalam premis kilang tersebut lagi sebelum proses pembuatan produk dilakukan di kilang tersebut.Oleh itu, kami dengan ini menjamin bahawa produk-produk SimplySiti yang telahpun mendapat pengesahan Halal JAKIM adalah benar & berus yang terdapat di dalam produk-produk kosmetik yang kini terdapat di pasaran juga adalah mematuhi syarat piawaian Halal daripada JAKIM. Bukan itu sahaja, kami juga rasa terharu kerana kerjasama dan follow up yang kami terima daripada pihak JAKIM juga adalah pantas dan efisyen untuk kami mudah membuat apa-apa tindakan susulan dengan efektif.Memang sudah cita-cita dan niat Siti adalah untuk memastikan produk SimplySiti adalah halal, suci dan berkualiti. Hanya yang terbaik untuk semua para pengguna maka Siti sanggup buat apa sahaja dan akan terus berusaha memperbaiki mana-mana kekurangan walaupun proses atau usaha itu mengambil masa dan kos yang lebih sedikit daripada proses yang biasa. Sekiranya sesuatu produk itu diragui kesuciannya, kami tidak akan menjual malahan akan menarik balik dari pasaran.SimplySiti akan turut mendapatkan kenyataan daripada JAKIM supaya hal ini tidak lagi dipanjangkan sehingga meragukan pengguna SimplySiti. Kami harap pihak JAKIM akan dapat menerangkan status halal SimplySiti dalam kenyataan akhbar mereka nanti.

Dan memandangkan isu ini timbul secara mengejut dan kebetulan jatuh pada hujung minggu, pihak SimplySiti akan turut berjumpa dengan pihak JAKIM secepat mungkin untuk berbincang tentang hal ini. Kami mohon agar orang ramai tidak membuat spekulasi awal kerana kami sangat prihatin dan sentiasa menitikberatkan kualiti dan kesucian di dalam produk kami.

Simplysiti dah melakukan proses samak. Ini bermaksud laporan blog adalah benar. Cuma tidak menyeluruh. Apa yang penting sekarang isu2 lain seperti MAMEE dan MARINASARDIN.. makanan yang kita makan.. kenapa masih tidak berjawab?

Sumber : rujuk sini


Perkembangan pada 13 Ogos 2011, Utusan Malaysia

Jakim sahkan produk kosmetik SimplySiti halal

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengesahkan bahawa produk kosmetik jenama SimplySiti adalah halal dan kesal atas penyebaran dakwaan yang tidak tepat mengenainya sebelum ini.

Jurucakap Bahagian Hab Halal Jakim dalam satu kenyataan memberitahu, penyebaran dakwaan yang tidak benar mengenai produk itu boleh mengelirukan pengguna Islam dan menjejaskan perniagaan syarikat itu.

"Jakim dengan ini menjelaskan bahawa berus yang ditemui bukanlah berus yang digunakan di dalam produk SimplySiti, tetapi adalah berus yang digunakan untuk kerja-kerja pembersihan di kawasan kilang.

"Pihak Simplysiti telah mengambil tindakan pembetulan dengan mengeluarkan berus berkenaan dari kawasan proses dan telah menjalankan proses samak sebaik sahaja keputusan laporan analisis daripada Jabatan Kimia Malaysia dimaklumkan kepada syarikat itu," jelas kenyataan itu.

Isu itu timbul ekoran penyebaran maklumat daripada blog tempatan sebelum ini yang mendakwa produk SimplySiti menggunakan berus diperbuat daripada bulu babi.

Menurut kenyataan itu, Jakim juga telah menerima laporan pengesahan samak yang dikeluarkan oleh Korean Muslim Federation (KMF) dan disahkan oleh A. Rahman Lee, Ju Hwa (Imam Besar Masjid Seoul).

Dalam pada itu, Presiden SimplySiti Sdn. Bhd., Datuk Siti Nurhaliza Tarudin memberi jaminan produk SimplySiti di pasaran adalah mematuhi syarat piawaian halal Jakim.

"Pihak kami selama ini bekerjasama rapat dengan Jakim dalam setiap proses sebelum sesuatu produk itu dihasilkan dan dipasarkan untuk kegunaan orang awam," katanya.

Beliau berkata, penghasilan produk yang ingin mendapat pengesahan halal Jakim perlu melalui proses pemeriksaan dan siasatan yang terperinci termasuk pengangkutan, simpanan, pengeluaran serta pekerja supaya mematuhi piawaian yang ditetapkan.



No comments:

Post a Comment