Tuesday, August 2, 2011

Kursus motivasi dera pelajar ? ~ kes di SMK Bandar Baru Uda, JB

JOHOR BAHRU 1 Ogos – Seramai 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) di sini, mendakwa didera secara fizikal semasa menyertai kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lalu.

Dalam program selama tiga hari itu, mereka bukan sahaja dibotakkan kepala tetapi mendakwa dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan diarahkan untuk memakai baju persalinan banduan.

Seorang pelajar, Mohd. Fakhrullah Masali, 16, mendakwa, pihak sekolah memberitahu program tersebut merupakan kem motivasi bagi pelajar yang mempunyai masalah disiplin dan akan diadakan di hotel.

Namun, Jumaat lalu mereka dibawa ke Penjara Kluang dan diminta menyerahkan semua barangan peribadi kepada pihak urus setia kursus.

“Saya agak terkejut sebab pada mulanya kami diberitahu akan menjalani kursus motivasi di hotel selain diberi beberapa kemudahan lain.

“Namun apabila tiba di sana, kami dilayan tak ubah seperti banduan, malah dikejutkan seawal 4.30 pagi untuk latihan kawad dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pelajar, Firdaus Mohammad, 16, memberitahu, mereka turut didera melakukan pelbagai aktiviti termasuk tekan tubi, berguling atas jalan dan ketuk ketampi sebanyak 150 kali.

Dakwanya, peserta juga dimarah dan dipukul sehingga ada yang menangis akibat tidak tahan.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, Khalid Mohamed yang menerima aduan tersebut berkata, satu memorandum ditandatangani oleh ibu bapa peserta terbabit akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan oleh pihak urusetia kursus tidak sesuai dan sewajarnya tidak berlaku.

“Saya harap pihak kementerian menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru terlibat termasuk pihak Jabatan Penjara Kluang.

“Kami rasa marah dan terkejut apabila para pelajar berkenaan dihantar ke penjara umpama seorang penjenayah malah turut digari. Tindakan seumpama itu seperti tidak bertamadun dan zalim,” katanya.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Datuk Samsol Bari Jamali ketika dihubungi hari ini mengakui pihaknya sedia maklum dengan program berkenaan iaitu pelajar menjalani simulasi kehidupan di penjara.

Menurutnya, sekolah berkenaan bukan yang pertama menjalani aktiviti itu, malah sebelum ini dua buah sekolah lain pernah mengikuti aktiviti sama.

“Konsultan dilantik oleh pihak sekolah juga adalah yang biasa dilantik oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru dan mungkin modul sahaja berbeza. Bagaimanapun, pihak sekolah akan bersemuka dengan para pelajar apabila sekolah dibuka Rabu ini,” katanya.

00Oo ------------------------------------------------------------------- 00Oo

komen : Dari sudut pihak sekolah mungkin nawaitunya adalah sangat baik iaitu untuk mendisiplin pelajar yang ada masalah disiplin seperti ponteng dan sebagainya. Sebagai sebuah institusi pendidikan, sudah tentu mereka berusaha untuk mendidik pelajar neh menjadi seorang yang baik dan berguna kepada masa hadapan. Pemilihan murid juga sudah tentulah melibatkan murid yang 'layak' mengikutinya berdasarkan merit kes-kes yang berlaku. Tapi tidak dinafikan, jika kem motivasi menggunakan khidmat luar, maka kualiti dan perjalanan program mungkin diluar kawalan pihak sekolah. Tapi biasanya akan ada guru yang akan menjadi guru pengiring dan berada bersama murid disepanjang program berlangsung. Mungkin program yang berlaku dah macam drama 'juvana' kot ada adegan sepak terajang, dera-mendera secara fizikal dan mental.

Dari sudut pelajar pula, mereka kenalah menerima hakikat bahawa aktiviti yang dilakukan bertujuan baik, untuk mendidik diri mereka. Jadikanlah ini sebagai pengajaran. Jika diri sendiri tidak tahan menghadapi dugaan seperti ini, maka bersediakah anda dengan dugaan yang lebih besar lagi selepas tamat belajar nanti? Mungkin ada hikmah disebalik kejadian ini. Renungkanlah dari pelbagai sudut dan ambik ikhtibar. Bangkitlah untuk menjadi seorang pelajar yang berguna, ubah sikap dan jadikan kursus yang diikuti ini sebagai tapak permulaan anda mengubah sikap negatif yang ada. Jika tidak, kursus yang dianggap perit ini akan hanya berlalu begitu saja tanpa ada manfaatnya.

No comments:

Post a Comment