Sunday, August 21, 2011

Ops Sikap ke 24 & Panduan Lalu Lintas Hari Raya Puasa 2011


Jadual Cadangan Perjalanan Bagi Pengguna Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Sempena Cuti Hari Raya Aidilfitri 2011.

Masing-masing dah tak sabar nak balik kampung kan. Terutama bagi yang kampung nun jauh di mata. Ada yang kerja kat selatan tapi nak balik kampung kat utara. Jauh tuh. Yang duduk kat KL semua nak balik sampai KL pun dah lengang. Boleh baring atas jalan sampai berdengkur lagik kalo kat KL tuh.

Bagi mereka yang nak balik kampung, silalah rujuk jadual perjalanan yang dicadangkan oleh pihak PLUS. Pihak PLUS cuma memberi cadangan, terpulang pada korang nak ikut atau tidak. Tapi kalau semua ikut cadangan PLUS rasanya tak rugi pun. Perjalanan akan (harap) lebih lancar dan kurang kesesakan. Tapi bila bawak kereta tuh jangan ler macam siput .. bawak 60 jer kat highway memang ler tak patut kecuali lah ada kecemasan yang menyebabkan korang perlu bawak kereta tuh secara perlahan.

Yang bawak laju sangat pun sampai melebihi had maksima pun tak patut juga sebab semakin laju anda memandu, makin tinggi risiko yang perlu dihadapi.

OK tak mau cakap banyak, rujuk jadual perjalanan kat atas tuh. Korang juga boleh baca kat bawah neh. Ada beberapa artikel pasal Ops Sikap ke 24 neh kat bawah...

PLUS perkenal jadual perjalanan sempena Aidilfitri, kemerdekaan
sumber : klik sini

PETALING JAYA, 24 Ogos, 2011: PLUS Expressways Bhd (PLUS) memperkenalkan jadual perjalanan dengan membahagikan kenderaan bernombor pendaftaran berakhir dengan nombor ganjil dan genap bagi melancarkan perjalanan di lebuh raya sempena musim cuti Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Noorizah Abdul Hamid, berkata langkah itu bertujuan memisahkan kumpulan pengguna lebuh raya dari utara dan selatan termasuk mereka ingin pulang berhari raya pada saat-saat akhir menuju ke Lembah Klang dari 1 hingga 4 September ini.

“Pengguna lebuh raya dari utara dan selatan yang akan kembali ke ibu kota pada 1 hingga 4 September dinasihatkan memasuki lebuh raya setiap jam genap sebelum 12 tengah hari iaitu 8 pagi dan 10 pagi bagi kenderaan bernombor pendaftaran berakhir dengan nombor genap.

“Bagi kenderaan bernombor pendaftaran berakhir dengan nombor ganjil disarankan menggunakan lebuh raya pada setiap jam ganjil sebelum 12 tengah hari iaitu pada 9 pagi dan 11 pagi,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Noorizah berkata, bagi semua kenderaan dicadangkan waktu yang sesuai untuk memasuki lebuh raya sebelum 8 pagi dan selepas 6 petang bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas bagi ketiga-tiga hari itu.

Beliau menasihatkan pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan supaya mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang disediakan.

Jadual perjalanan yang dicadangkan untuk pengguna dari Lembah Klang ke utara dari Sabtu hingga Isnin ini iaitu :

  • Perlis, Kedah dan Pulau Pinang ialah sebelum jam 12 tengah hari;
  • Taiping, Kuala Kangsar dan Changkat Jering antara 12 tengah hari hingga 3 petang;
  • Ipoh, Simpang Pulai dan Gopeng antara pukul 3 dan 6 petang;
  • Tapah, Bidor, Slim River dan Tanjung Malim selepas 6 petang.

Bagi perjalanan dari selatan pula jadual yang dicadangkan bagi Johor ialah:

  • Skudai, Johor Baharu, Senai dan Kulai sebelum 10 pagi;
  • Ayer Hitam, Yong Peng dan Tangkak antara 10 pagi dan 1 petang;
  • Melaka melalui Ayer Keroh antara 1 petang hingga 3 petang;
  • Tampin dan Alor Gajah melalui Simpang Ampat antara 3 hingga 6 petang;
  • Senawang, Port Dickson dan Seremban selepas 6 petang.

PLUS juga memperkenalkan jadual perjalanan bagi pengguna lebuh raya dari utara yang ingin pulang ke Kuala Kangsar dan Ipoh serta dari Ipoh menuju ke Tapah, Bidor, Slim River dan Tanjung Malim pada 1 hingga 4 September ini.

  • Dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang melalui Juru serta Changkat Jering dan Taiping ke Kuala Kangsar dan Ipoh antara 1 hingga 6 petang;
  • Ipoh, Simpang Ampat dan Gopeng ke Tapah, Bidor, Slim River dan Tanjung Malim antara 4 hingga 6 petang.
  • Dari Melaka melalui Ayer Keroh, Alor Gajah dan Tampin melalui Simpang Ampat ke Senawang, Port Dickson dan Seremban antara 4 petang dan 6 petang.

Noorizah berkata, ketika perayaan Aidilfitri tahun lalu, 50 peratus pengguna lebuh raya mengikuti jadual TTA yang dikeluarkan oleh PLUS bagi membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya sejak diperkenalkan 2007.

PLUS menjangka jumlah trafik di lebuh raya di Lebuh Raya Utara-Selatan akan meningkat 30 peratus kepada 1.4 juta kenderaan sehari pada waktu puncak berbanding 1.1 juta kenderaan pada hari biasa.

Noorizah berkata, seramai 3,000 kakitangan PLUS dan 430 anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam, St Johns Ambulans dan Persatuan Bulan Sabit Merah ditempatkan di plaza tol dan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang lebuh raya manakala 159 pasukan PLUSRonda akan membuat rondaan selama 24 jam sehari selain lebih 1,000 kaunter tol dibuka untuk memudahkan urusan pembayaran tol.

Pegawai Turus Penguat kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Superintendan Hamzah Ahmad, yang turut hadir pada sidang media itu, berkata lebih 300 anggota polis ditempatkan di kawasan terpilih mulai semalam hingga 6 September bagi mengawasi keadaan lalu lintas.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya PLUS menerusi talian bebas tol PLUSLine di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik.



~ ARTIKEL LAIN YANG BERKAITAN ~



Ops Sikap ke 24 : Pendekatan Berbeza
sumber : klik sini

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Ops Sikap ke-24 yang akan dijalankan pada 22 Ogos ini akan menggunakan pendekatan yang berbeza daripada Ops Sikap yang sebelumnya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata pendekatan yang digunakan kali ini akan melibatkan perubahan dari segi strategi dan akan diumumkan pada 22 Ogos ini.

“Perubahan yang dilakukan itu adalah bertujuan mengurangkan kadar kemalangan maut di samping memastikan pengguna jalan raya lebih berhati-hati terutamanya menjelang musim perayaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Berbuka Puasa dan Makan Malam Mesra 1Malaysia, di sini hari ini.

Dalam majlis anjuran Hata Industry itu, sumbangan diberikan kepada lima anggota polis yang mempunyai anak kurang upaya serta yang terlibat dengan kemalangan.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas berhubung sindiket penjualan senjata api tiruan yang berjaya ditumpaskan di sebuah kediaman mewah Park Ville Garden House di Petaling Jaya, beliau mencadangkan syarikat-syarikat kurier perlu mewujudkan sistem alat pengimbas bagi mengesan barangan yang dibawa masuk dan dihantar keluar seperti yang digunakan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

“Sistem alat pengimbas ini digunakan bertujuan untuk mengesan kandungan barangan. Jika barangan seperti senjata api tiruan ini berjaya dibawa masuk, tidak mustahil mercun serta barang-barang berbahaya lain juga boleh dibawa masuk,” katanya. – BERNAMA ONLINE


LARANGAN PENGGUNAAN KENDERAAN BARANGAN SEMASA CUTI PERAYAAN

HARI RAYA AIDILFITRI 2011 ( 27, 28 OGOS DAN 03, 04 SEPTEMBER 2011 )

Jadual Larangan Kenderaan Berat 2011


KEMASKINI : 22 OGOS 2011 (ISNIN)

Pengguna PLUSMiles, Touch n Go nikmati rebat tol ketika Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) akan menikmati rebat tol sehingga 20 peratus apabila membayar tol menggunakan sistem elektronik pada hari tertentu semasa cuti Hari Raya Aidilfitri kelak.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid, berkata rebat tol itu akan diberikan kepada pengguna kad PLUSMiles dan 'Touch n Go' ketika membayar tol di lebuh raya kendalian PLUS.

"Pengguna yang membayar tol secara elektronik pada Khamis dan Jumaat ini akan menerima rebat tol sebanyak 20 peratus manakala pengguna yang membayar tol dengan sistem sama pada 30 dan 31 Ogos akan menerima rebat sebanyak 10 peratus.

"Pada 1 dan 2 September pula, orang ramai yang membayar menggunakan sistem elektronik iaitu kad PLUSMiles dan 'Touch n Go' pula akan menerima rebat sebanyak 20 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, rebat itu boleh dituntut di pusat khidmat pelanggan PLUS apabila pengguna menambah nilai kad PLUSMiles dan Touch N Go mereka bermula 15 Oktober hingga 31 Disember ini.

"Tuntutan rebat tol selepas tempoh tersebut tidak akan diterima," katanya.

Noorizah berkata, langkah itu bertujuan menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya selain menggalakkan orang ramai menggunakan sistem pembayaran elektronik yang mudah dan pantas.

"Langkah itu juga diambil untuk membolehkan orang ramai merancang perjalanan dan menggalakkan mereka bergerak di luar waktu puncak kerana rebat diberikan sepanjang hari," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan rebat itu tidak diberikan kepada pengguna yang membayar tol di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam dan Bangunan Sultan Iskandar.

Selain itu, PLUS menjangka jumlah trafik meningkat sebanyak 30 peratus kepada 1.4 juta kenderaan setiap hari pada musim cuti yang akan datang, katanya. - BERNAMA


KEMASKINI : 22 OGOS 2011 (ISNIN)

Guna kamera berteknologi tinggi

PETALING JAYA 22 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan kamera pengesan kesalahan trafik berteknologi tinggi bagi mengesan pengguna kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas sepanjang Ops Sikap Ke-24 yang bermula esok hingga 6 September depan.

Kamera itu akan dipasang di kebanyakan laluan utama termasuk yang berisiko tinggi berlaku kemalangan di seluruh negara.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, pihaknya juga akan meletakkan tanda amaran awal sebelum kawasan yang dipasang kamera itu sebagai peringatan kepada pengguna kenderaan agar tidak melakukan kesalahan lalu lintas.

"Melalui kamera ini, tiada lagi kamera atau polis yang bersembunyi untuk merakamkan kesalahan pemandu. Sebaliknya, ia lebih efisien dengan penggunaan tenaga kerja yang sedikit, sekurang-kurangnya seorang anggota polis.

"Teknologi kamera yang lebih maju ini mampu merekod kesalahan pemandu dengan lebih tepat dan cepat. Namun, tujuan sebenar pengunaan kamera ini adalah lebih kepada usaha mendidik pengguna jalan raya," katanya.

Khalid berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Ops Sikap ke-24 dan Kempen Rumah Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri di pekarangan Sri Pentas, Bandar Utama di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Telekom Malaysia (TM), Datuk Dr. Halim Shafie; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid serta Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid.

Mengulas lanjut, kata Khalid, pesalah trafik yang dirakamkan kesalahan lalu lintas mereka akan menerima saman berserta gambar yang direkod menggunakan kamera berteknologi tinggi ini dengan lebih pantas.

Sepanjang Ops Sikap kali ini juga, kata beliau, PDRM akan mengadakan konsep 'Ronda dan Statik' di 40 lokasi lebuh raya serta 160 lokasi di jalan persekutuan.

"Bagi menjayakan Ops Sikap ini, seramai 10,000 pegawai dan anggota trafik akan bertugas di seluruh negara, malah khemah kanopi pelbagai guna akan diletakkan di hentian Rehat dan Rawat bagi membantu pengguna kenderaan yang menghadapi masalah dalam perjalanan," katanya.

Beliau turut mengulangi, PDRM akan mengeluarkan kompaun maksimum ke atas mereka yang melakukan beberapa kesalahan sepanjang Ops Sikap kali ini dan saman itu perlu dibayar penuh tanpa sebarang diskaun atau rundingan.


KEMASKINI : 25 OGOS 2011 (KHAMIS)

PLUS perkenal waktu perjalanan ikut nombor pendaftaran kenderaan

PETALING JAYA 24 Ogos - PLUS Expressways Berhad memperkenalkan cadangan waktu perjalanan dengan membahagikan nombor pendaftaran kenderaan digit terakhir ganjil dan genap dalam usaha meningkatkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang diguna pakai pada musim perayaan sebelum ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Noorizah Abd. Hamid berkata, ia melibatkan perjalanan pulang kenderaan dari arah utara dan selatan ke Lembah Klang dari 1 hingga 4 September.

Selain itu, katanya, pembahagian mengikut nombor pendaftaran juga untuk perjalanan dari Singapura ke Johor Bahru melalui Tambak Johor dan Linkedua pada 27 hingga 29 Ogos, yang mana kenderaan yang mempunyai nombor pendaftaran ganjil pada digit terakhir disarankan memulakan perjalanan pada waktu ganjil.

"Begitu juga kepada kenderaan yang mempunyai nombor pendaftaran genap pada digit terakhir dinasihatkan agar memulakan perjalanan pada waktu genap seperti pukul 10 pagi dan 2 petang.

"Kaedah ini diperkenalkan berikutan jumlah trafik dijangka meningkat sebanyak 30 peratus menjadi 1.4 juta kenderaan sehari pada waktu puncak musim perayaan berbanding 1.1 juta pada hari biasa.

"Pada perayaan Aidilfitri tahun lalu, kira-kira 50 peratus pengguna lebuh raya mengikuti jadual TTA yang dikeluarkan oleh PLUS dan ia telah membantu mengurangkan kesesakan. Kita tidak boleh memaksa pengguna tetapi kita menggalakkan mereka mengikut apa yang telah dicadangkan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang berlangsung di Menara Korporat, Persada PLUS di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Turus Trafik Bukit Aman, Supritendan Hamzah Ahmad, Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia, Datuk Ir. Ismail Md. Salleh dan Pengurus Jualan Redbull, Eng Swee Peng.

Dalam pada itu, PLUS turut memperkenalkan jadual perjalanan bagi pengguna lebuh raya dari utara ke Kuala Kangsar dan Ipoh serta pengguna dari Ipoh menuju ke Tapah, Bidor, Slim River dan Tanjung Malim pada 1 hingga 4 September ini.

Turut diperkenalkan ialah jadual perjalanan pada tarikh yang sama bagi pengguna dari arah selatan iaitu dari Melaka, Tampin dan Alor Gajah menuju ke Seremban, Port Dickson dan Senawang.

"Langkah ini bertujuan memisahkan kumpulan pengguna lebuh raya yang menuju ke destinasi utama dengan pengguna yang ingin pulang ke Lembah Klang.

"Oleh itu, kami berharap agar orang ramai akan terus memberikan kerjasama dengan mematuhi jadual yang disediakan," katanya.

Antara persiapan lain yang disediakan PLUS bagi memastikan kelancaran perjalanan dan keselamatan pengguna lebuh raya tersebut ialah membuka lebih daripada 1,000 kaunter tol serta menghentikan sebarang kerja penyelenggaraan dan pembinaan jalan antara 25 Ogos hingga 6 September.

Seramai 432 anggota pasukan keselamatan termasuk polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) ditempatkan di 12 lokasi dan dibantu oleh 500 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).


KEMASKINI : 25 OGOS 2011 (KHAMIS)

Ops Sikap masih relevan untuk kurangkan kemalangan maut
Oleh Wan Faizal Ismayatim
Berita Harian : 2011/08/25

WALAUPUN pada mulanya timbul ura-ura Ops Sikap ke-24 yang bermula Selasa lalu hingga 6 September ini akan ditukar kepada nama baru dengan pelbagai pendekatan berbeza selepas 10 tahun dilancarkan, ia tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih mengekalkan Ops Sikap yang masuk siri ke-24 sempena Aidilfitri kali ini dengan pendekatan yang tidak banyak bezanya sejak kali pertama dilancarkan pada 8 Disember 2001 oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Norian Mai bagi menggantikan Ops Statik.
Ada pihak menganggap Ops Sikap tidak lagi menggerunkan pengguna jalan raya dan kaedah pelaksanaannya perlu diberi nafas baru, namun apa yang penting sebenarnya bukan pada nama kerana tukarlah kepada apa-apa nama atau apa juga pendekatan sekalipun, kemalangan maut tetap berlaku setiap kali musim perayaan jika mentaliti dan sikap pemandu tidak berubah.
Ops Sikap ke-24 selama 15 hari bermula 23 Ogos hingga 6 September ini menyaksikan lebih 10,000 anggota polis bertugas di seluruh negara dengan matlamat memastikan perjalanan selesa dan selamat buat pengguna jalan raya pulang ke kampung halaman menerusi sasaran pengurangan lima peratus kemalangan maut berbanding sebelumnya.

Walaupun ia lebih bertujuan mendidik serta memberi ingatan kepada pengguna jalan raya agar lebih berhemah ketika memandu, PDRM awal-awal lagi memberi amaran tidak akan berkompromi sesiapa saja yang melakukan kesalahan hingga membahayakan nyawa diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Sempena Ops Sikap kali ini, PDRM akan menggunakan kamera perangkap laju berteknologi tinggi terbarunya yang dipasang di kebanyakan laluan utama dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kemalangan maut di seluruh negara.

Pengguna jalan raya yang dikesan melakukan kesalahan akan dirakam oleh kamera berkenaan yang dikendalikan seorang anggota sebelum notis saman bersama bukti bergambar kesalahan yang dilakukan itu dihantar ke alamat pemandu secepat mungkin.
Menerusi Ops Sikap kali ini, PDRM sekali lagi menggunakan pendekatan yang memastikan orang ramai merasai kehadiran anggota polis (omnipresence) di sepanjang laluan pulang ke kampung melalui konsep Ronda dan Statik di 40 lokasi lebuh raya serta 160 lokasi jalan Persekutuan seluruh negara.

Konsep itu menggunakan kanopi di R&R sebagai tempat pertemuan petugas polis trafik dan agensi lain selain dijadikan pusat sumber maklumat asas bagi pengguna jalan raya yang menghadapi masalah sepanjang perjalanan. Malah, ia juga menjadi pusat ‘tindakan pantas bantuan’ sekiranya berlaku kecemasan.

Bagi memudahkan orang ramai membuat laporan kesesakan atau kemalangan serta mendapatkan maklumat trafik dan bantuan, PDRM dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) menyediakan talian bebas tol 1800 88 1412 yang boleh dihubungi 24 jam.

Sesuatu kelainan pada ciri Ops Sikap kali ini, PDRM turut melancarkan Kempen Rumah Selamat yang menekankan keselamatan harta benda atau rumah yang ditinggalkan selama beberapa hari bagi tujuan balik kampung.

Bagi memudahkan orang ramai, PDRM menyediakan Borang Maklumat Balik Kampung yang boleh dimuat turun menerusi laman facebook rasmi PDRM sebelum maklumat itu dihantar ke IPD tempat tinggal pemilik rumah bagi membolehkan polis membuat rondaan dan ‘memerhatikan’ rumah mereka sepanjang musim perayaan.



Jika anda telah disaman, maka sila rujuk untuk jumlah saman / kompaun seperti berikut:


Kadar Kompaun Kesalahan (Motosikal 250 Cc) - Vol 1


Kadar Kompaun Kesalahan(Selain Motosikal 250cc) - Vol 1



Rujuk juga artikel ini : Perangkap Kelajuan ~ Speed Trap : hati-hati dikawasan ini...


No comments:

Post a Comment