Monday, August 8, 2011

Penilaian 360 darjah Menggantikan Penilaian PTK

Artikel 1 : sumber : http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/445-kolumnis/9774-360-darjah-menggantikan-ptk.html

Konsep 360 darjah adalah penilaian prestasi yang dibuat terhadap pegawai atasan, rakan sejawat dan kakitangan bawahan untuk dipertimbangkan panel khas bagi kenaikan pangkat, perlantikan jawatan lebih tinggi serta perlantikan baru. Penilaian tahap kecekapan (PTK) yang dilaksanakan kerajaan sejak 1 November 2002 telah dimansuhkan pada Januari 2011. Kaedah untuk menilai prestasi kakitangan awam ini akan digantikan dengan suatu sistem baru iaitu 360 darjah bermula bulan Julai depan. Melalui 360 darjah ini, penilaian terhadap kakitangan awam dilihat akan menjadi lebih telus dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan semata-mata untuk mendapat kenaikan gaji dan pangkat tetapi ia di nilai berdasarkan prestasi dan kemampuan seseorang penjawat awam.

Dalam kajian yang dijalankan oleh Berita Harian, menerusi facebook.com dan bhonline mendapati 39.52% bersetuju dengan kaedah baru ini, 48.7% tidak bersetuju dan 11.7% adalah tidak pasti. Sementara itu, Dato’ Omar Osman, Presiden CUEPACS pada dasarnya berpuas hati dengan penjelasan mengenai perlaksanaan PTK menggunakan konsep 360 darjah yang diperkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam pertemuan yang diadakan. CUEPACS akan mengemukakan pandangan mereka kepada JPA pada perjumpaan yang seterusnya.

Sungguhpun 360 darjah ini dilihat sebagai salah satu kaedah penilaian yang berkesan tetapi dibimbangkan ada segelintir penjawat awam yang menggunakan kesempatan tersebut untuk membuat ampuan atau kata lain mengipas bos untuk mendapatkan penilaian yang baik daripada pihak atasan. Selain itu dikhuatiri juga akan ada berlakunya penilaian yang berat sebelah di kalangan ahli. Contohnya penilaian yang dilakukan oleh rakan sejawat berkemungkinan akan menyebelahi atau memberikan kelebihan kepada rakan baik mereka atas dasar rakan sejawat dan bukanya berdasarkan prestasi kerja sebenar.

Selain itu, dengan pengenalan 360 darjah ini, diharap akan berlakunya peningkatan prestasi setiap pekerja secara optimum. Walaupun bakal ada yang tidak akan berpuas hati kelak dengan sistem penilaian baru ini, tetapi melalui 360 darjah ini dilihat dapat memberikan peluang kepada setiap kakitangan untuk menunjukkan kebolehan dan kemampuan mereka yang sebenar dan bukannya hanya dinilai melalui peperiksaan semata-mata yang dilihat terlalu rigid untuk menilai prestasi kerja seseorang.

Pemimpin atau orang atasan juga perlu berlaku adil dan tidak melakukan penilaian hanya berdasarkan hubungan baik semata-mata atau sebaliknya. Sikap dendam atau beremosi negatif seeloknya dijauhi semasa penilaian dibuat terhadap pegawai atasan, rakan sejawat dan kakitangan bawahan. Situasi ini bagi masyarakat Islam khususnya sangat bertepatan dengan dalil yang terdapat dalam al-Quran yang menuntut setiap Muslim bersifat amanah. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah itu sentiasa Maha Mendengar lagi sentiasa Maha Melihat.” (Surah al-Nisa’, ayat 58)

Sifat amanah ini sebenarnya mengungkap pengertian sangat luas dan mendalam. Ia bukan sekadar membawa erti bersikap jujur dan benar dalam urusan kehidupan, malah merangkumi setiap tanggungjawab atau tugas yang perlu ditunai membabitkan segenap lapisan manusia yang terdiri daripada pemimpin, pekerja dan individu Muslim itu sendiri. Sehubungan itu, Islam daripada awal lagi menyerahkan amanah dan tanggungjawab setiap individu terhadap Allah seperti dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyat yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pelindung kepada ahli keluarganya dan bertanggungjawab terhadap tanggungannya. Seorang perempuan di rumah suaminya adalah penjaga dan bertanggungjawab terhadap jagaannya, begitu juga seorang khadam sebagai penjaga amanah harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap jagaan di bawahnya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Selain itu, Rasulullah SAW juga memberi amaran keras kepada pemimpin yang tidak berlaku adil dan amanah dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa ada melantik seseorang untuk mengetuai sesuatu kumpulan sedangkan ada orang lain yang lebih layak daripadanya di sisi Allah, sesungguhnya dia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya serta orang mukmin seluruhnya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Adalah diharapkan 360 darjah ini akan dapat menjadi sistem penilaian yang berkesan kepada setiap kakitangan kerajaan kerana masing-masing akan mempunyai hak yang sama rata untuk mendapat kenaikan pangkat atau gaji kerana penilaian yang diberikan adalah mengikut prestasi kerja dan tidak lagi hanya berorientasikan sistem peperiksaan semata-mata.



Minda Pengarang: Konsep 360 darjah beri penjawat awam penilaian menyeluruh, adil

2011/05/11

MENILAI prestasi penjawat awam bukanlah tugas mudah. Ada kalanya ia begitu kompleks. Beberapa sistem penilaian yang diperkenalkan sebelum ini sering menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai peringkat penjawat awam. Antara sistem penilaian yang pernah diguna pakai termasuk Sistem Saraan Baru (SSB), Sistem Saraan Malaysia (2003) dan terakhir Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Bagaimanapun, PTK yang diperkenalkan sejak 2003 turut mendapat rungutan dan akhirnya dimansuhkan pada 1 Januari lalu. Kita percaya dalam kalangan kira-kira 1.2 juta penjawat awam adalah mustahil untuk memuaskan hati semua pihak. Dalam pada itu, kita mengharapkan kaedah menyeluruh bagi mengukur prestasi penjawat awam yang mampu mencapai tahap optimum. Mengambil kira pelbagai rungutan, kerajaan akhirnya memutuskan akan mengguna pakai kaedah penilaian tahap kecekapan berkonsepkan 360 darjah yang akan mula dilaksanakan 1 Julai depan. Pelaksanaannya dibuat selepas mengambil kira pelbagai kekurangan serta kelemahan dalam sistem sebelumnya, terutama PTK. Menerusi konsep 360 darjah ini, semua penjawat awam mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menilai prestasi setiap kakitangan dalam sesebuah jabatan dan organisasi.

Justeru, kita melihat kaedah penilaian mengikut konsep 360 darjah ini lebih menyeluruh dalam mengukur prestasi setiap penjawat awam. Penilaian bukan saja membabitkan seorang ketua kepada kakitangan bawahan, malah penilaian juga dibuat antara rakan sejawatan dan kakitangan bawahan terhadap ketua mereka. Kita percaya kejayaan sesebuah jabatan atau organisasi adalah atas kerja berpasukan dan bukan prestasi individu semata-mata. Jika seseorang ketua itu lemah, prestasi kakitangan bawahannya akan turut terjejas. Ia memberi kesan kepada keseluruhan pencapaian jabatan atau organisasi. Pada masa sama, kita tentunya tidak mahu prestasi penjawat awam hanya diukur di atas kertas peperiksaan sehingga menafikan pengalaman dan kecekapan sebenar individu menjalankan tugas. Walaupun sistem penilaian baru itu belum diberi nama khusus, kita yakin ia dapat menilai kakitangan berdasarkan tugas hakiki, ciri kepemimpinan dan kesan kepada suasana tempat kerja. Kemampuan menilai prestasi penjawat awam dengan lebih tepat tanpa rasa dipinggirkan atau pilih kasih akan dapat mewujudkan suasana kerja yang lebih kondusif. Aspek lain yang sepatutnya diambil kira dalam penilaian baru ini ialah kecekapan, wawasan, hubungan dengan kakitangan, tunjuk ajar serta sikap keterbukaan dalam menyumbang kepada prestasi cemerlang jabatan masing-masing.


PENILAIAN KONSEP 360 DARJAH TINGKAT KEPIMPINAN JABATAN KERAJAAN

KUALA LUMPUR: Penilaian tahap kecekapan berkonsep 360 darjah mulai 1 Julai depan berkesan mewujudkan hubungan 'menang-menang' yang erat antara pihak pengurusan dan kumpulan pelaksana, serta mempertingkat daya kepemimpinan cemerlang, telus dan saksama dalam jabatan kerajaan.

Pelaksanaan konsep baru itu juga disifatkan sebagai ejen pemantau kepada pentadbiran dan jentera operasi dalam perkhidmatan awam berikutan semua penjawat menyedari prestasi mereka akan diperhati serta dinilai secara berterusan oleh penyelia, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata sistem penilaian baru itu mampu menjana pembangunan profesionalisme serta kerjaya berterusan di kalangan penjawat awam melalui kursus peningkatan kecekapan, berbanding kebanyakan kursus di bawah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) lebih menjurus kepada program kesedaran dan motivasi.

“CUEPACS juga akan mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam perjumpaan esok (hari ini) supaya penilaian baru ini nanti turut memberi pertimbangan lebih 15 peratus kepada sumbangan kakitangan yang kreatif di luar bidang tugas hakiki mereka,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan, mulai 1 Julai depan, prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pelaksanaan sistem itu mampu mengelakkan berlakunya penindasan dalam hubungan antara pegawai atasan dan kakitangan bawahan, sebaliknya tindakan diambil akan lebih berhati-hati serta mengambil kira kepentingan secara keseluruhan.
“Ini secara langsung akan menggalakkan jalinan kerjasama lebih padu yang bukan saja menguntungkan pihak pentadbiran, kumpulan pelaksana, jabatan dan negara tetapi juga pelanggan atau penerima perkhidmatan,” katanya.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri, berkata konsep penilaian baru itu diyakini lebih relevan dan berkesan berbanding penilaian berasaskan peperiksaan dalam PTK.

“Justeru, peluang kenaikan pangkat yang mengambil kira rekod penilaian perkhidmatan secara berterusan serta pembabitan dalam kursus peningkatan ilmu dan kecekapan, amat penting serta lebih ketara,” katanya.

Pengerusi Kesatuan Pegawai Kastam Wilayah Persekutuan, Jaapar Mansor berkata, penilaian yang mengutamakan prestasi kerja penjawat awam, lebih-lebih lagi untuk tujuan kenaikan pangkat, adalah lebih adil.



No comments:

Post a Comment