Wednesday, August 10, 2011

Penuntut Malaysia dibelasah, samun di London

IPOH 9 Ogos - Seorang penuntut Malaysia cedera dibelasah dan disamun sekumpulan remaja dalam kejadian rusuhan yang berlaku di London dan beberapa bandar di Britain.

Dalam kejadian yang berlaku di Barking, Timur London itu, Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 20, yang patah tulang rahang dan gigi terpaksa dimasukkan ke Hospital Royal London.

Difahamkan ketika kejadian, penuntut bidang perakaunan berasal dari Ampang itu keluar bersama rakan-rakannya untuk membeli juadah berbuka puasa.

Visual Asyraf yang duduk sambil mengusap mulutnya yang berdarah dan dikelilingi lebih 10 remaja itu dimuat naik ke laman perkongsian video, YouTube hari ini di bawah tajuk 'Heartless robbery in London riots!!!!

Video itu juga sempat merakamkan aksi seorang pemuda berkulit putih yang dengan selamba membuka beg galas Asyraf dan menyamunnya lalu berlalu tanpa sesiapa pun yang menegahnya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Kelab-Kelab UMNO United Kingdom, Dzuhair Hanafiah berkata, Asyraf kini menjalani pembedahan membetulkan tulang rahang.

Menurut Dzuhair, Barking adalah salah satu kawasan tegang dan panas dalam beberapa siri rusuhan serta kekacauan sejak tiga hari lalu di London.

Katanya, Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) dan Kelab UMNO London kini berusaha memindahkan penuntut ke kawasan selamat.

Penuntut serta rakyat Malaysia yang terjejas dinasihatkan menghubungi MSD di UK atau Kelab UMNO UK di info@umnolondon.com atau talian +447435644040.





Sumber (Utusan malaysia) : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm

Sumber (Harian Metro) : http://www.hmetro.com.my/articles/Dipukulperusuh/Article



komen : Sebagai orang asing di bumi negara asing, kita haruslah berhati-hati. Berjalanlah dalam kumpulan. Saya menyatakan demikian sebab dalam video neh menunjukkan adik Asyraf keseorangan. Ini penting untuk menjaga keselamatan diri sendiri terutama dalam situasi yang tidak tenteram seperti sekarang. Agak terkilan dan sedih apabila seorang warga Malaysia dipukul dan disamun sedemikian rupa kerana ramai pelajar asing di Malaysia hidup aman damai malah kadang-kala agak kasar kepada warga tempatan (orang Malaysia) sendiri. Semoga kekacauan yang berlaku akan cepat berakhir dan semua pihak dapat kembali menjalani rutin hidup dengan aman. Semoga adik Asyraf cepat sembuh dan tabah menghadapi hidup di bumi orang.


Harian Metro : 11 Ogos 2011 (Khamis)

KUALA LUMPUR: “Orang kata saya turut ditikam, tapi mujur tak kena. Saya tak nampak pisau, tapi orang di flat berdekatan memberitahu kelompok perusuh itu bersenjatakan pisau,” kata Muhammed Asyraf Haziq Rossli, 20.

Dia yang cedera di mulut akibat diserang dan dirompak perusuh ketika melalui satu kawasan rusuhan di timur London, terpaksa menjalani pembedahan membetulkan rahangnya yang patah dan kini menerima rawatan di Royal London Hospital.

Dalam temubual dirakam wakil Kelab Umno London kelmarin, penuntut perakaunan tajaan Mara di Kolej Kaplan, London itu memberitahu, kejadian berlaku pantas dan dia tidak dapat melarikan diri ketika dikerumuni kumpulan berkenaan.

“Saya sedang mengayuh basikal ketika itu dan memang tak boleh buat apa-apa kerana mereka ramai, (ketika dikerumuni) ada yang seluk belakang baju sejuk berhud yang saya pakai dan ada ambil telefon.


“Mereka juga tarik basikal yang saya tunggang menyebabkan saya jatuh dan mulut berdarah. Masa jatuh itulah saya rasa rahang saya sudah patah dan mereka semua lari apabila nampak saya berdarah,” katanya dalam nada berhati-hati menahan sakit.


Utusan Malaysia : 12 Ogos 2011 (Jumaat)

Mohd. Asyraf selamat jalani pembedahan

KOTA KINABALU 11 Ogos - Penuntut Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rosli, 20, yang cedera diserang dan disamun sekumpulan lelaki dalam kejadian rusuhan di London selamat menjalani pembedahan di Hospital Royal London hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Muhammad Asyraf kini berada di dalam keadaan stabil dan dirawat di hospital berkenaan.

"Dia menjalani pembedahan selama lebih tiga jam bagi memasukkan plat logam di rahangnya antara pukul 1 petang hingga 4.45 petang.

"Wisma Putra juga memaklumkan keadaan penuntut itu kepada ibunya, Maznah Abu Mansor," katanya di sini hari ini.

Menurutnya pada masa ini hospital yang menempatkan Muhammad Asyraf dipenuhi wartawan tempatan dan antarabangsa yang ingin mengetahui perkembangan penuntut berkenaan.


Berita Harian : 13 Ogos 2011 (Sabtu)

Lelaki British didakwa rompak Asyraf

LONDON: Reece Donovan dari timur London didakwa di mahkamah kerana merompak pelajar Malaysia, Mohamed Asyraf Haziq Rossli, semasa rusuhan di London awal minggu ini, menurut seorang jurucakap Polis Metropolitan.


Menurut polis, Donovan berusia 21 atau 23 tahun.

Insiden itu dirakam dan disiarkan di internet sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat dunia dan kerajaan Britain turut mengutuk perbuatan itu. - Agensi



Lihat rakaman temubual / sidang akhbar Muhammad Asyraf selepas pembedahan

http://www.bbc.co.uk/news/uk-14498193

http://www.bbc.co.uk/news/uk-14497069


Sumber lain :

Rujuk blog neh | http://pami3.blogspot.com/2011/08/interview-susulan-pelajar-malaysia-yang.html


kemaskini : 23 Ogos, 2011

Masyarakat dunia kagum sifat murni Asyraf

sumber : Harian Metro : klik sini

KUALA LUMPUR: “Mungkin ada hikmah dengan apa yang menimpa Asyraf di London,” kata Rossli Harun, 49, bapa pelajar Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 20, yang dibelasah dan disamun sekumpulan perusuh di Barking, Timur London, 8 Ogos lalu.


Menurutnya, kini masyarakat dunia terutama di Eropah mengagumi sifat murni Asyraf sebagai rakyat Malaysia dan Muslim yang sanggup memaafkan sekumpulan perusuh yang membelasah sebelum menyamun anak sulungnya itu.

Rossli bersama isteri, Maznah Abu Mansoor, 47, dan anak bongsu mereka, Muhammad Fitri, 8, baru saja pulang ke tanah air petang kelmarin selepas seminggu melawat Asyraf di London, 13 Ogos lalu.

“Sambutan serta layanan pemimpin dan masyarakat tempatan negara itu amat baik, termasuk mereka berulang kali meminta maaf kepada Asyraf dan kami sekeluarga dengan kejadian yang berlaku.

“Mereka berasa malu dengan tindakan kumpulan lelaki yang antaranya mungkin kanak-kanak yang masih bersekolah rendah,” katanya.

Katanya, selain lega dan gembira dapat melihat sendiri keadaan Asyraf yang beransur pulih, dia dan isteri akur dengan keputusan anak sulungnya itu untuk meneruskan pelajaran di London.

“Asyraf semakin pulih, cuma dia sekarang masih tidak boleh makan makanan keras dan doktor mengatakan dia mungkin mengambil masa lima hingga enam bulan untuk pulih sepenuhnya.

“Semangatnya untuk meneruskan pelajaran di London sangat tinggi dan kami yang melihat kesungguhan itu bersetuju membenarkan dia terus berada di negara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sumbangan wang ringgit yang diterima Asyraf daripada pelbagai pihak dan masyarakat dunia, Rossli berkata, setakat ini wang yang diterima mencecah STG 40,000 (hampir RM200,000).

“Asyraf akan meneruskan niatnya untuk menyalurkan wang sumbangan itu kepada pihak yang lebih memerlukan dan dia kini sedang dalam proses mencari pusat atau badan kebajikan yang bersesuaian,” katanya.

No comments:

Post a Comment