Thursday, August 25, 2011

Selamat Hari Wanita Malaysia; Sambutan Peringkat Kebangsaan Tahun 2011

TANGGAL 25 Ogos, sekali lagi, negara meraikan Hari Wanita. Sambutannya bertujuan memberi pengiktirafan terhadap peranan wanita di negara ini dengan menggemakan keupayaan mereka yang terus lantang dan yakin.

Dengan ledakan teknologi maklumat, proses globalisasi, transformasi politik serta perubahan iklim ekonomi, baik di peringkat nasional mahupun global memberikan pelbagai bentuk cabaran baru dan kewibawaan golongan Hawa ini tetap hebat dan menyinar.

Negara kini turut mengharungi perubahan alaf baru bertembung dan bergelut dengan nilai globalisasi, liberalisasi dan perubahan tradisi yang menimbulkan pelbagai dilema baru yang sekali gus menuntut pembabitan wanita yang lebih gitu.

Sejajar dengan tema Hari Wanita 2011 - “Wanita Penjalin Perpaduan” bukan saja memberikan makna tersendiri tetapi turut membawa amanah dan tanggungjawab lebih besar untuk direalisasikan.

Kemajuan dicapai wanita hari ini termasuk dari segi mengeratkan perpaduan adalah rentetan perjuangan wanita terdahulu. Malaysia dihuni penduduk berbilang bangsa, keturunan dan kebudayaan, memerlukan perpaduan yang kukuh.

Hakikatnya, peranan dan pengaruh wanita, terutama di dalam negara yang sedang pesat membangun, adalah besar. Peranan wanita bukan setakat menjadi suri rumah tangga, mendidik anak, atau menjaga makan dan pakaian suami tetapi juga dari segi sumbangan mental dan fizikal di dalam perkembangan ekonomi, pelajaran, dan lain-lain.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, berkata tema Hari Wanita Kebangsaan tahun ini - Wanita Penjalin Perpaduan memberi penghormatan kepada peranan wanita sebagai penggerak ke arah perpaduan.

Katanya, semua wanita Malaysia yang di dokong oleh bapa, walaupun mempunyai peranan masing-masing termasuk sebagai ibu, anak dan suri rumah juga berfungsi membawa perubahan.

“Wanita perlu bersatu padu kerana mereka pemangkin yang mengikat erat keluarga dan juga tulang belakang serta nadi negara. Dalam kehidupan seharian, wanita membesarkan anak supaya mengasihi dan menghormati mereka yang berbeza. Wanita juga bertindak berani menolak ketidakadilan dan mendidik untuk memperkasa dirinya sendiri dan orang lain.

“Melalui tindakan ini, wanita menghapuskan sempadan dan membina perpaduan. Mereka menyatukan kelompok masyarakat yang berbeza melalui jalinan penerimaan dan pemahaman, dicerminkan dalam keluarga yang berdaya tahan dan negara yang sihat. Tindakan inilah yang membina 1Malaysia,” katanya.

Sempena Hari Wanita, Shahrizat mengajak wanita sama ada individu dan melalui institusi untuk mengukuh dan memelihara hak wanita. Katanya, wanita yang berdaya upaya adalah aset kepada diri sendiri, keluarga dan negara.

Bagi Presiden Yayasan Suara Wanita (Yasnita), Tan Sri Zaleha Ismail, berkata tema Wanita Penjalin Perpaduan bagi sambutan Hari Wanita 2011 amat bertepatan dan sesuai.

Katanya, wanita sebagai ibu dan suri rumah boleh mendidik anak serta menyatu padukan jalinan kasih sayang antara keluarga dan institusi masyarakat.

“Pada masa kini, ada yang tinggal di bandar tidak mengenali saudara mara di kampung. Walaupun tinggal berjauhan, tidak bermakna tiada jalinan hubungan itu. Begitu juga dalam hidup bermasyarakat, warga di bandar khususnya ada yang langsung tidak mengenali jiran sebelah.

“Sebagai ejen perpaduan, wanita boleh berperanan besar mewujudkan pertalian hubungan erat antara satu sama lain, sama ada dalam keluarga mahupun masyarakat. Misalnya, dalam masyarakat kita mulakan dengan jiran dan cuba mengenali dan ambil tahu antara satu sama lain. Dari situ hubungan boleh diperluaskan kepada masyarakat yang lebih besar, barulah keharmonian itu wujud,” katanya.

Zaleha yang juga bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, berkata berbanding dulu peranan wanita terhad kepada keluarga asas saja tetapi kini lebih luas dan menyeluruh mencakupi komuniti yang pelbagai kaum serta peringkat usia.

Seiring itu, sewajarnya wanita mewujud dan menggerakkan perpaduan tulen serta terbuka dengan menunjukkan kasih sayang yang tulus bagi menyatu padukan semua.

Untuk menjadi ejen perpaduan yang sejati, paling penting dalam diri setiap wanita mesti ada perasaan suka dan sayang pada insan didampingi, sekali gus tidak memandang pada status, cantik atau tidak mahupun membezakan antara miskin dan kaya.

Bagi wanita generasi muda, Zaleha menasihatkan walaupun sibuk dengan kerjaya dan keluarga, seharusnya kena bahagi masa mereka dalam komuniti.

“Generasi muda tidak boleh pisahkan diri dalam masyarakat walaupun kehidupan hari ini sudah serba lengkap, mereka masih ada tanggungjawab dan berperanan untuk menjalinkan hubungan dengan yang lain supaya perpaduan terus dikekalkan,” katanya.

P/S : Selamat Hari Wanita untuk semua!!!

sumber : klik sini

1 comment: