Sunday, September 4, 2011

Isu : Guru Buat Kerja Luar

Kaji jumlah guru buat kerja luar

Utusan Malaysia; KUALA LUMPUR 3 Sept. – Kajian perlu dilakukan untuk memastikan jumlah sebenar guru yang terlibat membuat kerja luar supaya sistem pendidikan negara tidak terjejas.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai perkara itu, tetapi tiada statistik sebenar dan berharap bilangan guru yang terlibat tidak ramai.

“Kajian harus dilaksanakan bagi mengetahui kenapa dan mengapa guru-guru tersebut perlu membuat kerja luar sedangkan mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berat dalam mendidik anak bangsa.

“Sekiranya guru mahu mencari pendapatan lain sekali pun, mereka perlu patuh kepada etika dan tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pendidik,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan mengenai fenomena guru membuat kerja luar boleh mengganggu dasar pendidikan negara.

Sementara itu tokoh akademik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, pihak sekolah perlu menggariskan sasaran yang harus dicapai oleh guru-guru bagi memastikan mereka sentiasa menjalankan amanah mendidik dengan baik.

“Penilaian terhadap guru harus dibuat untuk melihat prestasi mereka ketika mengajar murid di kelas.

“Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan perbuatan guru membuat kerja luar kerana mereka sepatutnya menggunakan masa selepas waktu persekolahan dengan menyediakan bahan mengajar untuk hari esok pula,” katanya.

Dalam pada itu Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, bilangan guru yang melakukan tugas luar seperti mengajar di kelas tambahan dan menjadi ejen insurans adalah sedikit dan ia masih terkawal.

“Memang ada segelintir guru yang melakukan tugas luar tetapi mereka akan pastikan tanggungjawab di sekolah selesai terlebih dahulu,” katanya.



Guru kerja luar semakin serius, kementerian perlu kaji

Utusan Malaysia; KUALA LUMPUR 1 Sept. – Kementerian Pelajaran perlu melakukan pemantauan yang menyeluruh berhubung fenomena guru membuat kerja ‘luar’ kerana ia boleh mengganggu dasar pendidikan negara.

Sambil menyifatkan fenomena itu semakin serius kebelakangan ini, Pensyarah Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, Kementerian Pelajaran juga perlu menjalankan kajian mengenai perkara itu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

‘‘Oleh kerana tiada data yang dapat membuktikan hal ini berlaku, sukar untuk Kementerian Pelajaran mengambil langkah mengatasinya.

‘‘Pihak persatuan guru juga pasti akan menafikannya tetapi cubalah bertanyakan kepada ibu bapa kerana sebahagian besar daripada rungutan mengenai perkara ini datangnya daripada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Anuar, antara kerja luar yang sinonim dengan guru adalah mengajar di kelas tuisyen berbayar, terlibat dengan perniagaan skim piramid (MLM), menjadi ejen insurans serta pelbagai produk seperti pakaian, aksesori perhiasan dan barangan kecantikan.

Katanya, disebabkan komitmen pemikiran, masa dan tenaga lebih terarah kepada kerja luar, ada guru yang mengabaikan tugasan hakiki iaitu pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

‘‘Akibatnya guru-guru ini secara fizikalnya akan menjadi letih dan tiada masa untuk membuat persediaan pengajaran.

‘‘Tidak hairan selepas 13 tahun anak-anak kita di sekolah rendah, namun masih belum berkeupayaan untuk menulis walau hanya sebaris ayat bahasa Inggeris dengan lengkap,” katanya.

Apa yang membimbangkan, kata Anuar, disebabkan sistem pendidikan negara tidak membenarkan ulangan kelas, pelajar yang gagal menguasai pelajaran juga akan tetap mengikuti kenaikan kelas.

Ditanya adakah faktor gaji menjadi penyebab utama, Anuar berkata, skim gaji guru ketika ini sebenarnya masih boleh memenuhi semua keperluan hidup dengan baik dan berkualiti.

‘‘Tetapi ada guru yang masih belum berpuas hati bila membandingkan pendapatannya dengan eksekutif di sektor korporat yang berpendapatan berlipat kali ganda.

‘‘Apa yang lebih diperlukan ialah memastikan setiap guru benar-benar memahami tanggungjawab mereka,” katanya

No comments:

Post a Comment