Saturday, October 1, 2011

Bulan Bahasa Kebangsaan

Bulan Bahasa Kebangsaan merupakan suatu program yang memfokuskan kempen cintai bahasa Melayu yang dipelopori penganjurannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah untuk mendidik masyarakat berbilang bangsa khususnya di Malaysia agar dapat menyemarakkan dan seterusnya memartabatkan bahasa kebangsaan negara tersebut dalam pelbagai aspek dan bidang yang boleh memaju ke arah kelestarian bahasa Melayu sebagai bahasa kelas dunia yang praktikal dan realistik.

Tujuan utama penganjuran program ini adalah:

  • Untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.
  • Menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.
  • Mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan.
  • Menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa

Program Bulan bahasa Kebangsaan (BBK) dijalankan sepanjang bulan Oktober setiap tahun, pelbagai pengisian program telah dirangka oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka pusat dan negeri sepanjang tempoh pelaksanaannya

Pada asalnya program seumpama ini telah dijalankan sepanjang dekat 60-an bermula dengan panggilan Minggu Bahasa Kebangsaan dana Bulan Bahasa Kebangsaan. Kempen ini telah melalui perubahan pelbagai nama seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK) (1987-1996), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) (1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998). Akhirnya pada tahun 1999, gerakan ini dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).

Program BBSN yang pertama telah dilancarkan pada tahun 1999 oleh mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, yang pada ketika itu ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Manakala pada tahun 2009, bersesuaian dengan matlamat pelaksanaannya, BBSN telah dikenali dengan nama Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) sehingga kini.


Logo Bulan Bahasa Kebangsaan

Photobucket


Keseluruhan konsep logo menggambarkan peranan rakyat pelbagai bangsa di dalam negara bagi membentuk perpaduan di dalam konsep satu Malaysia “BBK” menjadikan tunggak kecemerlangan negara berasaskan pembangunan yang berteraskan bahasa sebagai wadah.


HURUF “B”

Huruf “B” yang direka secara grafik dan dinamik sekilas pandang berbentuk “B” bererti “Bulan” dan “Bahasa Kebangsaan” di hujung pena menjadi tunjang pada huruf “B”. Ia sinonim dengan DBP sebagai sumber ilmu dan juga dataran untuk menyampaikan dan memacukan visi dan misi DBP yang merupakan matlamat bahasa dan sastera yang akan direalisasikan oleh “B”.


BENTUK DUNIA BERPUSING DAN BENDERA MALAYSIA

“Bendera Malaysia” secara grafik terdiri daripada pelbagai warna membentuk dunia berpusing tanpa had menggambarkan arah tuju untuk mencapai matlamat masa depan “B” yang cemerlang.

Dunia berpusing menjadi latar belakang logo melambangkan tema perpaduan serta menitikberatkan cinta bahasa dan negara. Ia juga menunjukkan semua kaum yang sentiasa dipupuk dan dipastikan perpaduan, keharmonian kaum terpelihara untuk menjamin masa depan yang lebih gemilang. Ia memberi penyatuan kepada tiga bangsa utama di Malaysia, hidup penuh muafakat, bekerjasama demi memajukan negara.

Lingkaran tiga jalur merah putih pada bendera Malaysia merupakan kegiatan-kegiatan “BBK” yang meliputi pelbagai bidang ilmu dan bahasa.


DAUN RESAM DBP

Daun resam DBP yang terdapat pada logo korporat menterjemahkan bahasa menjadi bumbung logo. Ia juga sumber dalam memperkembangkan bahasa dalam era globalisasi terpusat di atas logo ini sebagai nadi utama “BBK”.


PENA DARI HURUF “B”

Pena yang terletak di penghujung huruf “B” menggambarkan matlamat yang dituju dalam “BBK”. Di samping itu ia juga mencerminkan kegiatan bahasa dan sastera.


WARNA MERAH DAN PUTIH

Merah dan putih menggambarkan semangat rakyat Malaysia untuk mencapai kegemilangan dan juga menjadi simbol wawasan satu Malaysia yang suci dan ikhlas.


WARNA KUNING

Kuning mengekalkan sistem raja berpelembagaan dan menjunjung luhur kedaulatan Negara serta menjadi simbol kegiatan “BBK” ke arah kegemilangan.


WARNA BIRU

Biru bermaksud kestabilan, bersatu hati dan hidup sejahtera untuk mencapai matlamat “BBK” bersama pelbagai kaum dalam negara.


WARNA HIJAU

Hijau melambangkan keterampilan dan kegiatan berwibawa dalam mengembangkan bahasa yang sentiasa subur ke persada dunia.


Ada 2 lagu yang menarik untuk didendangkan bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan ini. Berikut adalah lagu-lagu tersebut.




Lirik Lagu Bahasa Jiwa Bangsa

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah Amalkan Ramai-ramai
Bahasalah Menyatukan Kita Semua
Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa

Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara
Megahkan Bahasa Kita
Bahasa Jiwa Bangsa

Lagu/Lirik: Dol Ramli


Ada satu lagi lagu yang sesuai digunakan walaupun lagu ini untuk tema tahun 2010. Lagu khas untuk tema tahun 2011 tak dapat pula admin cari.




Mari bangsaku mari saudara
Kita gunakan bahasa bonda
Sebagai lidah penggugah rasa
Cinta bahasa cinta budaya
Demi cinta kepada budaya
Kita penatar bahasa bonda
Bahasa maju budaya jaya
Maruah bangsa terpelihara
(korus)
Cintailah bahasa ibunda
Cintailah budaya pusaka
Bahasa yang menjunjung budaya
Budaya nilai maruah bangsa
(Ulangi korus sekali lagi)

1 comment: