Monday, January 16, 2012

Cikgu Bersalahkah?

Isu cikgu a.k.a guru memang selalu keluar di banyak media sama ada di surat khabat mahupun di pelbagai forum media baru. Antara isu yang baru ialah seperti berikut:

Bermula dengan kata-kata seorang menteri, keluar berita berkaitan PLKN seperti berikut:

Program khas bantu pelatih PLKN kuasai kemahiran 3M

PUTRAJAYA 10 Jan. - Satu program khas akan dilaksanakan untuk para pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dikenal pasti masih tidak menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun langkah itu agak terlewat tetapi ia penting bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci dari PLKN untuk mengenal pasti latar belakang pelajar termasuk jenis sekolah serta kedudukan mereka sama ada di bandar atau luar bandar.

''Dari situ kita akan susun balik, mungkin sekolah-sekolah yang dikenal pasti dan kalau perlu ada program khas untuk atasi masalah itu, kita akan laksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanat tahun baru di Majlis Perutusan Khas Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.

Laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini memetik kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut 8 peratus daripada 6,667 pelatih PLKN dari 30 pusat latihan didapati tidak boleh membaca dan menulis.

Keputusan itu berdasarkan satu projek perintis menggunakan satu modul yang dipanggil I-Smart yang dijalankan ke atas kumpulan ketiga pelatih PLKN pada Ogos tahun lepas.

Muhyiddin berkata, pihak beliau menyifatkan penemuan oleh PLKN itu adalah penting kerana dalam rekod kementerian terdapat sebilangan kecil pelajar yang sudah di tingkatan lima masih menghadapi masalah membaca dan menulis.

Atas sebab itulah, beliau menambah, pihaknya memperkenalkan program literasi dan numerasi (LINUS) untuk menguji tahap kefahaman dan keupayaan pelajar termasuk dari segi fizikal, pendengaran, penglihatan sejak darjah satu lagi.

''Tahun lepas program itu amat berkesan sekali kerana lebih 90 peratus telah dapat menerima proses pembelajaran dengan baik selepas menyertai LINUS," katanya.

Tidak lama selepas itu, keluar pula di ruangan forum seperti berikut:


Di manakah silap guru?
Utusan Malaysia; 13 Januari 2012

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan lapan peratus daripada 6,667 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) didapati tidak boleh membaca dan menulis.

Ini menyedarkan kita bahawa masalah kegagalan pelajar sekolah menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi masih lagi menghantui dunia pendidikan negara. Pelbagai kaedah dan program khas telah dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini. Dulu dikenali sebagai KIA 2M (Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis) dan terbaru ialah LINUS (program Saringan Literasi dan Numerasi) yang dilancarkan pada tahun 2010, tetapi masalah ini masih terus berlaku.

Dari aspek psikologi perkembangan, manusia normal, berkeupayaan menguasai kemahiran asas membaca menulis dan mengira ini di peringkat kanak-kanak lagi, iaitu seawal usia 6 tahun.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat pra sekolah, semua pelajar sepatutnya boleh membaca dan menulis perkataan-perkataan dan membuat ayat-ayat mudah dengan baik.

Adalah terlalu malang buat pelajar setelah menamatkan pelajaran di tingkatan lima dan berumur 17 tahun tapi masih belum boleh membaca dan menulis dengan baik.

Isu ini perlu mendapat perhatian serius kepada guru-guru di sekolah. Guru-guru yang telah mendapat latihan secukupnya dalam bidang psikologi pendidikan, pedagogi dan profesionalisme keguruan (Diploma 3 tahun dan Ijazah 5 setengah tahun - merujuk kepada jangkamasa latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia) apakah tidak mampu menyelesaikan isu ini?

Adalah sangat memalukan, dengan ijazah/kepakaran dalam bidang psikologi, pedagogi dan profesionalisme yang dimiliki, dengan skim perkhidmatan yang menarik, umur yang masih muda, masalah buta huruf tidak menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira) masih lagi berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah di negara ini.

Pertengahan bulan Januari ini, generasi kedua guru-guru lulusan IPGM (Institut Pendidikan Guru Malaysia) akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Syabas kepada semua guru ini kerana telah berjaya menjadi seorang guru.

Di samping kegembiraan kerana menamatkan pengajian dan latihan dengan jayanya dan telah ditempatkan di sekolah-sekolah untuk bertugas, sehinggalah kepada pengumuman skim perkhidmatan yang sentiasa ditambah baik oleh kerajaan, anda pada hakikatnya telah diberi satu tanggungjawab besar.

Tanggungjawab itu ialah memastikan semua pelajar sekurang-kurangnya dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi sebelum mereka meninggalkan sekolah rendah.

Tiada apa-apa alasan lagi di pihak guru untuk gagal melaksanakan tanggungjawab ini.

Anggaplah dengan penempatan anda di sekolah sebagai guru permulaan, merupakan langkah permulaan memikul tanggungjawab besar ini.

Justeru para guru perlu mengambil serius terhadap fenomena ini dan berusaha mengatasinya sehingga berjaya supaya profesyen perguruan akan dihormati disanjung sebagai arkitek pembangunan akal budi manusia dan pencorak kemajuan rakyat dalam sesebuah negara.

HASSAN SALLEH
Kuala Terengganu


Dan antara jawapan yang paling awal dan sangat admin suka ialah kenyataan yang dikeluarkan pada 16 Januari 2012 seperti berikut:

Punca pelajar menengah gagal membaca, menulis

AKMAL FAIRUZ
Lembah Pantai, Kuala Lumpur

SAYA ingin merujuk kepada tulisan Hassan Salleh bertajuk 'Di Manakah Silap Guru' di ruangan ini yang menyentuh soal wujudnya pelatih-pelatih PLKN lepasan sekolah menengah yang masih tidak boleh membaca dan menulis.

Jawapan saya sebagai seorang guru yang telah lima tahun mengajar di sekolah menengah ialah:

n Di maktab perguruan, kami diajar bahawa murid yang tidak mengikut peraturan perlu dihukum. Tapi hakikatnya di sekolah, semua jenis hukuman ditangguhkan. Hukuman terbesar seperti buang sekolah pun boleh dibangkang oleh murid kerana kita ada dasar pendidikan wajib 11 tahun. Jadi semua murid boleh melanggar semua peraturan sekolah, seperti ponteng kelas dan tidak perlu menyiapkan kerja sekolah kerana tidak ada satu peraturan yang boleh menyentuh mereka. Murid boleh berjalan keluar dari kelas ketika guru sedang mengajar dan tidak ada siapa boleh menghalang mereka.

n Di maktab perguruan, kami diajar supaya mendahulukan kepentingan murid berbanding sekolah. Tapi hakikatnya di sekolah, guru disuruh bertungkus-lumus membuat kerja perkeranian sehingga tidak ada masa untuk mengajar. Terbaru di negeri Johor, pertandingan dibuat di antara sekolah-sekolah untuk mencari siapakah guru yang paling cekap membuat kerja perkeranian dan mengurus fail. Tentunya guru yang menang itu akan diberi anugerah dan dapat mengharumkan nama pengetua. Tapi kebanyakan guru yang menang itu tidak pernah memenangkan murid dalam apa-apa pertandingan pun.

n Di maktab perguruan, kami diajar supaya memikirkan cara bagaimana hendak mempelbagaikan kaedah pengajaran supaya murid yang pelbagai kerenah boleh dibantu. Tapi hakikatnya di sekolah, yang dipelbagaikan ialah jenis jawatankuasa, borang dan fail, bukan teknik pengajaran. Akhirnya setiap guru akan memegang 10 hingga 15 jawatan dalam pelbagai jawatankuasa, dan murid kadang-kadang satu buku pun tidak ada.

n Di maktab perguruan, kami diajar supaya 'buat apa yang betul untuk murid'. Tapi hakikatnya di sekolah, pengetua hanya mahu mencari nama dan hendak cepat naik pangkat dan naik gaji. Oleh itu semua guru mesti berhempas pulas mengurus hal-ehwal sekolah. Kadang-kadang guru terpaksa meninggalkan kelas untuk hadir mesyuarat kerana pengetua mahu semua fail lengkap dan terkini.

n Di maktab perguruan, kami diajar supaya mengajar mengikut tahap murid. Untuk itu, murid diasingkan mengikut kelas. Murid yang pandai dan cekap akan diletak di kelas pandai, supaya guru boleh mengajar dengan pantas. Jika kurang cekap dan lemah, akan diletak di kelas kurang pandai supaya guru boleh mengajar perlahan-lahan dan murid boleh dibantu.

Tapi hakikatnya, ibu bapa menuduh guru menganggap anaknya bodoh jika diletak di kelas hujung, jadi ibu bapa akan bawa wartawan, bawa ahli politik dan bawa ketua kampung untuk serang guru di sekolah. Oleh kerana sekolah tidak suka orang politik mencari populariti dalam sekolah, sekolah pun beralah dan murid kurang pandai ini pun diletakkanlah di kelas pandai.

Ibu bapa pun baliklah dengan bangga dan berceritalah kepada jiran-jiran, kononnya anaknya di kelas pandai. Tapi akhirnya anaknya ketinggalan kerana tak mampu mengejar murid pandai yang lain dan guru akan diserang lagi kerana tak pandai mengajar.

n Di maktab perguruan, kami diajar supaya mendahulukan kepentingan klien. Tapi pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran tidak pernah anggap guru sebagai klien mereka. Guru sekolah hanya 'kuli' pihak PPD dan jabatan semata-mata. Jika PPD dan jabatan minta data, guru mesti sediakan secepat mungkin. Kalau boleh dua saat selepas diminta, data mesti sudah sampai ke pejabat.

Dua hari selepas data dihantar, PPD dan jabatan akan telefon sekolah untuk memarahi pengetua kerana guru tidak hantar data. Pengetua pun marahlah kepada guru dan guru pun terpaksalah meninggalkan kelas untuk menghantar lagi data buat kesekian kalinya kerana PPD dan jabatan memang tidak pernah simpan apa-apa data pun. Setiap kali mahu apa-apa mereka akan minta dari sekolah, sehingga data yang sama boleh dihantar hampir sepuluh kali ke pejabat. Tanyalah kepada Guru Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid, berapa kali agaknya data enrolmen murid dihantar ke pejabat dalam setahun.

Saya fikir kesilapan pihak guru ialah, lain yang diajar di maktab, lain yang perlu dbuat. Pengetua, PPD, jabatan dan ibu bapa, semua membuli guru sekolah. Kalau maktab perguruan mahu membantu hapuskan buta huruf, ajarlah guru pelatih bagaimana hendak 'mengajar' orang atasan.

1 comment:

  1. 1 hari 2 kali hantar enrolmen murid :(

    ReplyDelete