Sunday, February 19, 2012

Never mind, I’ll find someone like you

 

 

Kemantapan suara Adele

PERTAMA kali mendengar lagu Rolling In The Deep dan Someone Like You, mungkin ada yang menyangka Adele adalah ‘berkulit hitam’ kerana kemantapan suaranya lazimnya dimiliki penyanyi kulit hitam. 

Mungkin ada yang tidak menyangka sama sekali Adele ini adalah wanita berkulit putih, berasal pula dari Britain, yang lebih terkenal dengan genre pop.

Bukan bersikap stereotaip tapi cuba sebutkan nama penyanyi wanita kulit putih yang ada memiliki lontaran suara seumpamanya? Celine Dion, ya. Tapi dia datang dari era 1980-an. Ramai yang menggemari lagu Rolling In The Deep kerana melodinya bagaikan membangkitkan keinginan untuk turut sama menyanyi dan menari.

Pada majlis anugerah Grammy minggu lalu, Adele meraih enam kemenangan dalam enam kategori yang dia dicalonkan. Lagu Rolling In The Deep memenangi Lagu Terbaik Grammy 2012, Rekod Terbaik dan Muzik Video Berbentuk Pendek Terbaik dan albumnya yang berjudul 21 memenangi kategori Album Terbaik dan Suara Album Pop Terbaik manakala persembahan solonya bagi lagu Someone Like You berjaya meraih Persembaghan Solo Pop Terbaik.

Namun daripada dua lagu ini, saya memilih Someone Like You. Ini adalah contoh lagu yang penuh emosi. Sebagai bekas pelajar aliran Sastera, bagi saya lirik Someone Like You adalah manifestasi jiwa yang luhur, tulus dan selamba. Perhatikan pada korus : Never mind, I’ll find someone like you. Terjemahan : Tidak mengapalah. Aku cari seseorang sama seperti dikau. 

Kalau ikut istilah remaja zaman sekarang, ayat seumpamanya dilabel sebagai ‘poyo’, melainkan mereka yang dalam alam percintaan atau baru putus cinta yang akan menganggapnya sebagai ‘syahdu’. Seperti lagu Jars of Hearts dendangan Christina Perri. Liriknya tepat menusuk ke sukma kalbu. Lagu-lagu ini boleh menyebabkan kita sebak. 

Satu artikel dalam Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini mengulas dengan teliti lagu Adele ini (akhbar antarabangsa ini ada cerita hiburan dan bukan sekadar kisah Israel semata-mata). Menurut WSJ, elemen balada mengandungi ‘appoggiatura’, yang merupakan nota hiasan yang bertembung dengan melodi yang mencukupi untuk mewujudkan bunyi disonan.

Dalam lagu Adele, menurut WSJ, penekanan tercetus pada perkataan you semasa pembukaan korus, dalam lirik “Nevermind, I’ll find someone like you.”

‘‘Appoggiaturas ditemui dalam kebanyakan irama yang mana disifatkan oleh para pendengar memberi mereka ‘perasaan tersentuh’ atau menyebabkan mereka sebak, menurut kajian selama 20 tahun yang dilakukan oleh pakar psikologi, John Sloboda, lapor WSJ.

Lagu tersebut berubah dalam ‘bunyi, warna nada dan corak harmoni’', yang juga menyumbang kepada pengwujudan reaksi fizikal pendengar.

Apabila muzik tiba-tiba terhenti daripada jangkaan coraknya, sistem saraf simpati dalam diri pendengar berada dalam tahap ‘berwaspada tinggi’, jantung kita bergerak kencang dan mula berpeluh. Bergantung kepada konteks, pendengar akan mentafsir keadaan membangkitkan jiwa ini sebagai positif atau negatif, gembira atau sedih. Itu rumusan Dr. Sloboda.


Walaupun penulis bersama lagu Adele itu, Dan Wilson mengaku pernah mendengar kesan-kesan appoggiaturas, dia lebih cenderung merasakan lagu itu melahirkan reaksi yang kuat kerana liriknya sarat dengan emosi yang benar dan tulin.

“Bersama Adele, kami menulis lagu ini yang mengisahkan hubungan yang berakhir dengan penuh kesedihan, dan dia (Adele) menyelami emosi lagu itu dan kami berjaya mencipta suasana itu,” katanya kepada portal berita NPR.

Bagaimanapun, pihak lain menganggap lirik lagu itu menjadikan iramanya boleh difahami dan dikecapi oleh audiens yang luas.

Profesor Psikologi di Goldsmiths, University of London, Tomas Chamorro-Premuzic berkata, sifat suka atau tidak suka pada lagu itu adalah petunjuk kepada jenis muzik yang orang ramai secara umumnya tertarik.

“Orang yang benar-benar menyukai lagu (Adele) cenderung lebih kepada seseorang yang nostalgia, sentimental dan banyak berangan-angan,” kata Chamorro-Premuzim. “Orang yang tidak menyukainya pula adalah lebih cetek, pragmatik dan memilih kepada mood positif dan bertenaga’'.

Itu pandangan pakar psikologi. Bagaimana anda, pendengar umum? Apakah lirik dan melodi lagu yang memainkan peranan besar dalam menarik perhatian pendengar menyukai lagu Adele, atau apakah suara mantap Adele itu sendiri adalah kekuatan utama lagu itu?

Cuba bayangkan jika lagu-lagu Adele itu dibawa oleh Whitney Houston, yang meninggal dunia sehari sebelum majlis anugerah Grammy minggu lepas? Tentunya nahu dan konotasi Someone Like You akan mengikut cara Whitney. Bayangkan pula suara Adele mengalunkan lagu The Greatest Love of All? Setuju? Tidak setuju?

Rumusannya, dalam ribuan penyanyi yang dilahirkan setiap tahun termasuk program seperti American Idol, The Voice atau Akademi Fantasia, hanya beberapa orang sahaja yang akan diiktiraf sebagai memiliki suara yang benar-benar hebat. Adele adalah seorang daripadanya.

Seperti mendiang Whitney, Adele tidak perlu berpakaian seksi atau memaparkan penari separuh bogel dalam video muzik untuk meraih perhatian. Whitney dan Adele dianugerah Tuhan suara yang bertenaga dan lirik lagu yang memberi inspirasi kepada ramai orang. 

Pada usia semuda 21 tahun, Adele pasti akan tampil dengan album-album lebih sedap di masa mendatang. Tidak pasti sejauh manakah dia akan benar-benar berehat lima tahun daripada bidang nyanyian tetapi lagu Someone Like You pasti menjadi lagu evergreen.

1 comment:

  1. The greatest women in the world . Banyak dpt anugerah Grammy world . Adele patut dijadikan idola .

    ReplyDelete