Monday, May 14, 2012

MAS kuat kuasa peraturan baru bagasi



KUALA LUMPUR - Dalam persediaan untuk menyertai oneworld Alliance, Malaysian Airline System hari ini mengumumkan peraturan baharu bagasi kabin syarikat itu yang akan dilaksanakan untuk semula penerbangan mulai esok (15 Mei 2012).

Menurut kenyataan MAS, penumpang kelas ekonomi hanya boleh membawa satu bagasi tangan dengan berat maksimum 7 kg, manakala untuk penumpang kelas Bisnes dan kelas Pertama, dibenarkan dua bagasi tangan, masing-masing tidak lebih daripada 15 kg dan 10 kg.

Setiap bagasi tangan tidak boleh melebihi 36 sm panjang, 23 sm lebar dan 56 sm tinggi.

Semua bagasi kabin mesti mematuhi undang-undang tempatan serta langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan oleh lapangan terbang. Kadar biasa akan dikenakan ke atas bagasi yang melebihi ketetapan itu.

Selain itu, setiap penumpang dibenarkan membawa beg tangan kecil dan tongkat, dan salah satu daripada barangan berikut: notebook/komputer riba, beg bimbit, beg kamera atau beg binokular, kata MAS.

Mereka yang membawa bayi, boleh membawa satu beg mengandungi makanan bayi dan lampin tidak melebihi 5 kg, kot dan kereta sorong bayi boleh lipat, kata kenyataan itu.

Oneworld Alliance ialah rangkaian syarikat penerbangan yang terbang ke 950 destinasi di 150 negara. Menerusi gabungan lebih 2,600 pesawat yang melakukan 10,000 penerbangan sehari, oneworld mengangkut 358 juta penumpang setahun.

Syarikat penerbangan itu dijadual menyertai oneworld alliance menjelang akhir tahun. - Bernama

sumber : http://www.sinarharian.com.my/bisnes/mas-kuat-kuasa-peraturan-baru-bagasi-esok-1.47945 pada 14 Mei 2012 jam 09:30 p.m

No comments:

Post a Comment