Monday, May 14, 2012

Tugas sampingan hilang fokus guru

Oleh Ruhaiza Rusmin, Mohd Rifaat Abd Hamid dan Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my
NOSTALGIA...tanpa mengira zaman, jasa guru dalam memberi pendidikan tidak pernah terbatas dan hilang.
NOSTALGIA...tanpa mengira zaman, jasa guru dalam memberi pendidikan tidak pernah terbatas dan hilang. 

SAMBUTAN Hari Guru 16 Mei setiap tahun menjadi simbolik pengiktirafan istimewa kepada warga pendidik yang tidak jemu melahirkan insan berjaya dan terbilang.

Sama ada pengetua, pensyarah atau guru semuanya berjasa biarpun zaman sudah menjengah alaf baru dengan pelbagai tanggung jawab yang kian sukar serta mencabar.

Malangnya, di tengah kelelahan golongan terbabit mendidik anak bangsa, masih ramai yang mempertikaikan kredibiliti dan integriti guru hingga mencemarkan imej mereka.

Pelbagai permintaan dan desakan diutarakan dengan alasan, guru perlu bersedia dan mengubah anjakan paradigma sejajar perubahan dunia pendidikan global zaman millennium.

Justeru, persediaan apakah yang perlu ada bagi golongan terbabit mengharungi dunia pendidikan era baru?

Pensyarah Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohmad Noor Mohmad Taib, berkata, guru zaman millennium perlu mempersiapkan diri dengan kekuatan mental serta fizikal bagi mengemudi masa depan dunia pendidikan.

Beliau berkata, itulah cabaran utama yang perlu diperkukuhkan terlebih dulu sebagai persediaan berdepan pelbagai kerenah tidak terjangka dunia pendidikan global.

“Sebagai guru alaf baru, kerenah bukan saja merang�kumi aspek pematuhan tugas dan dasar malah mengawal selia pelajar selain memastikan standard ditetapkan tercapai.

“Aspek itu bukan mudah kerana penanda arasnya sentiasa berubah selain menguji sejauh mana ketahanan guru.

“Ia bukan saja memerlukan ketahanan fizikal, lebih penting kekuatan emosi bagi mengelak tekanan. Guru zaman ini harus menyediakan perisai untuk menghadapi segala kemungkinan itu lebih awal,” katanya.

Tahun ini, tema ‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’ menggambarkan betapa besarnya tanggungjawab dan peranan guru menjana transformasi pendidikan selari tuntutan semasa.

Bagaimanapun, imej guru yang tinggi di mata masyarakat kini juga terpalit dengan isu luar jangkaan.

Apatah lagi dengan kuasa kian terbatas menyebabkan ada menganggap guru hari ini sekadar menjalankan tugasan semata-mata tanpa sokongan komitmen tinggi.

Beliau berkata, biar apapun tohmahan dilemparkan, guru perlu meletakkan rasa tanggungjawab di tangga tertinggi selain memperlengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran.

“Ini membolehkan mereka berfungsi sebagai pencetus, pembentuk, pengajar dan pendidik kepada anak bangsa. Bukankah mereka antara idola yang baik dan sering menjadi rujukan?

“Guru perlu sentiasa bersikap profesional, berusaha dan sabar menangani keadaan.

“Kebijaksanaan dalam berfikir dan menentukan tindakan perlu kerana masyarakat masa kini sangat peka,” katanya.

Guru, katanya ada pelbagai kategori. Pertama, memang mahu menjadi guru dan mampu memberikan komitmen diri yang baik terhadap tugasan. Mereka puas jika melihat pelajar berjaya dan tidak mengharapkan balasan.

“Kedua, bercita-cita menjadi guru pada peringkat awal namun tidak bertahan kerana gagal mengikut rentak dan ketiga menjadikan profesion ini sebagai pilihan terakhir,” katanya.

Pendapatan guru di negara ini juga, akuinya, tidak setimpal dan kurang mendapat pengiktirafan seperti kerjaya lain berbanding guru di negara maju.

“Ini juga salah satu sebab mengapa ada kurang bermotivasi menjadi guru dan melaksanakannya kerana terpaksa. Berbeza di luar negara, mereka bertindak profesional kerana kerjaya itu memang profesional.

“Bagaimanapun jangan jadikan ia alasan bertugas sambil lewa. Guru pemegang amanah, justeru laksanakan dengan jujur dan ikhlas,” katanya.

Guru juga, akuinya, tidak boleh membandingkan kegemilangan zaman pendidikan dulu dan masa kini.

Menurutnya, setiap ruang masa mempunyai ciri latar dan pengisian peristiwa serta cabaran berbeza.

“ Justeru tidak adil mengatakan zaman pendidikan dulu lebih baik berbanding sekarang. Setiap tempoh ada perbezaannya dan ia dilaksanakan mengikut kesesuaian.

“Cabaran dunia pendidikan sentiasa wujud. Yang berbeza ialah bentuk cabaran perlu dihadapi.

“Setiap cabaran itu pula memerlukan formula dan pendekatan berbeza. Di sinilah guru memerlukan paradigma pemikiran yang sentiasa ber�kembang sekali gus membantu pelajar berjaya,” katanya.

Mantan pengetua SMK Alor Janggus (SMKAJ), Kedah, Datuk Harun Mohd Hashim, bersetuju peranan guru hari ini semakin mencabar dan memerlukan kudrat tinggi untuk melaksanakan setiap tugas.

Menurutnya, guru pada zaman ini terlalu terikat dengan peraturan sebaliknya dulu diberi kuasa penuh melaksanakan peranan tanpa campur tangan masyarakat juga ibu bapa.

“Masyarakat dan ibu bapa dulu sangat padu membantu guru melaksanakan tanggungjawab. Mereka prihatin sekali gus memudahkan proses pendidikan dijalankan.

“Kekurangan kemudahan bukan alasan guru mendidik pelajar menjadi insan baik dan berdisiplin. Mereka berjaya hasil didikan guru manakala hubungan juga mesra.

“Kini sudah berbeza dan menye�dihkan. Guru, pelajar dan masyarakat saling bercakaran hingga menyukarkan usaha melahirkan produk cemerlang, produktif kemahiran serta jadi diri,” katanya.

Manakala mantan pengetua SK Datuk Wan Muhammad Saman (SKDWMS) Alor Star, Kedah, Abdul Aziz Zainol, berkata tanggungjawab guru zaman millennium sangat mencabar kerana turut terpaksa memikul beban sampingan.

“Dulu guru hanya mengajar dan memantau masalah pelajar, tapi hari ini terpaksa berdepan ‘permintaan lain seperti kerja perkeranian, kursus dan sebagainya.

“Justeru tumpuan terhadap tanggungjawab hakiki akan terjejas sekali gus memberi ruang pelajar bertindak sesuka hati. Ini lari dari konsep pendidikan dan tanggungjawab guru.

“Sekali gus semakin menyukarkan usaha menjadi guru yang baik dan berkaliber,” katanya.



sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Tugassampinganhilangfokusguru/Article pada 14 Mei 2012 @ jam 03:00 p.m.

No comments:

Post a Comment