Monday, December 31, 2012

Perutusan Tahun Baru 2013

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia-Nya kita dapat menarik nafas lagi pada pagi 1 Januari 2013 yang sungguh bahagia ini. Walaupun 1 Januari bukan merupakan hari cuti umum bagi admin dan rakan-rakan, namun suasana tahun baru tetap dirasai dengan semangat yang begitu positif untuk terus berkhidmat pada tahun ini. 

Mengimbas kembali tahun 2012, admin dapat rasakan ianya merupakan suatu tahun kejayaan bagi admin secara peribadi. Beberapa kejayaan telah admin kecapi. Ia bukan kejayaan peribadi secara mutlak tetapi merupakan kejayaan bersama, kejayaan yang disumbangkan oleh berkat doa orang tua, rakan-rakan sekerja, pihak pentadbiran, anak murid, ibu bapa murid, pengunjung blog ini dan sesiapa juga yang secara langsung atau tidak langsung telah mewarnai kehidupan admin.

Antara kejayaan yang sudah tentu begitu istimewa bagi admin ialah telah dilantik dan disahkan di gred jawatan yang lebih baik dan lebih awal berbanding rakan yang sama-sama dipostingkan sebelum ini. Tahun 2012 merupakan tahun permulaan admin bertukar tempat tugas dan merasai suasana tempat bertugas ke dua dalam sejarah kehidupan admin. Pengalaman bertugas ditempat baru memberi suatu pengalaman yang menarik kerana tugas-tugas yang diberikan merupakan tugas yang belum pernah admin pegang ditempat lama. Tahun 2012 juga admin telah dilapangkan waktu dan diberi kesihatan yang sangat baik sehingga admin dapat membuat rekod bersih tanpa CRK dan MC sepanjang tahun ini. Keputusan peperiksaan UPSR sekolah admin juga telah meningkat dan mencipta rekod sebagai keputusan terbaik dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini. Semua ini merupakan berkat kerjasama kita semua.

Melabuhkan tirai 31 Disember 2012 bermakna admin sudah 8 tahun berkhidmat iaitu sejak Januari 2005. Tahun 2013 memasuki tahun ke sembilan admin berkhidmat. Masih terlalu lama untuk berkhidmat jika dipanjangkan usia dan kesihatan yang baik. 

Tahun 2013 yang mendatang sudah tentu akan menjadi satu platform untuk admin terus berusaha meningkatkan kualiti pendidikan dengan bekerja lebih baik dan penuh bersemangat lagi untuk mencipta lebih banyak kejayaan. Usaha ini bukan usaha secara individu. Ia usaha secara bersama. Bersama dengan rakan, bersama dengan murid, bersama dengan ibu bapa, bersama dengan masyarakat dan juga bersama dengan pengunjung blog admin. Walau hanya sebaris doa dari anda, ia tetap bermakna dan boleh membawa kejayaan. Beberapa sasaran kerja dan sasaran peribadi telah ditetapkan. Admin yakin sasaran itu boleh dicapai. 

Sebagai usaha perkongsian ilmu, admin akan terus memastikan blog ini memberikan manfaat kepada pengunjungnya. Semua bahan akan terus dikongsi secara percuma. Anda semua juga dialu-alukan untuk berkongsi bahan di sini. Ilmu tanpa disebarkan akan hanya reput begitu saja dimakan usia. 

Sebelum menutup tirai, bersama-samalah kita mengaminkan doa ini:

Ya Allah !
Sempena sesi persekolahan 2013, kami para guru memohon kepadaMu, engkau sampaikan hasrat kami ke arah melahirkan anak-anak kami menjadi insan kamil. Jadikan anak-anak murid kami sebagai ladang untuk kami mengutip pahala. Kurniakan kepada kami sikap murabbi seperti Engkau kurniakan kepada kekasih kami Nabi Muhammad .

Ya Allah engkau kurniakan kepada anak-anak murid kami akhlak terpuji,
Wahai Tuhan, tambahkanlah ilmu dan luaskanlah kefahaman mereka.
Lapangkanlah dada mereka untuk menuntut ilmu dan permudahkan segala urusan mereka sehingga mereka menempa kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu,
Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Perkenankanlah,perkenankanlah !




Akhir kata, selamat tahun baru sekali lagi. Tingkatkan azam untuk kejayaan. 

Yang benar,

Admin.
31 Disember 2012.



1 comment: