Thursday, July 11, 2013

Peraturan-peraturan Baru Bank Negara Malaysia Bagi Pinjaman Perumahan dan Pinjaman Peribadi

Ref No : 07/13/04
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 17 00 pada hari Jumaat 05 Julai 2013

Langkah untuk Terus Menggalakkan Sektor Isi Rumah yang Kukuh dan Mampan.
.


Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pelaksanaan satu set langkah yang bertujuan untuk mengelak hutang isi rumah yang berlebihan dan memperkukuh amalan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab oleh pemberi kredit utama. Langkah ini yang berkuat kuasa serta-merta melengkapkan langkah terdahulu yang dilaksanakan sejak tahun 2010 untuk menggalakkan sektor isi rumah yang kukuh dan mampan.

Langkah-langkah ini ialah:
  1. Tempoh pinjaman maksimum selama 10 tahun untuk pembiayaan bagi kegunaan peribadi;
  2. Tempoh pinjaman maksimum selama 35 tahun untuk pembiayaan bagi pembelian harta kediaman dan bukan kediaman;
  3. Larangan menawarkan produk pembiayaan peribadi yang diluluskan terlebih dahulu.
Had bagi tempoh pembiayaan ini tidak akan melibatkan permohonan yang dibuat sebelum hari ini.

Hutang isi rumah terus meningkat pada kadar yang tinggi, iaitu pada kadar tahunan purata 12% sejak lima tahun yang lalu. Meskipun disokong oleh pendapatan dan keadaan guna tenaga yang positif, namun sejak akhir-akhir ini terdapat peningkatan trend dalam penawaran produk kewangan yang tidak mengambil kira kepentingan pengguna dalam jangka panjang. Ini termasuk tempoh pembiayaan yang dilanjutkan hingga 45 tahun bagi pembiayaan rumah dan 25 tahun bagi pembiayaan peribadi. Walaupun tempoh pembiayaan yang lama ini mengurangkan pembayaran balik bulanan, namun dalam jangka panjang, pembiayaan ini meningkatkan beban hutang isi rumah secara keseluruhan. Amalan seperti ini menggalakkan pengumpulan hutang yang berlebihan oleh isi rumah dan meningkatkan kelemahan sektor ini.

Langkah-langkah ini dilaksanakan menurut seksyen 31(1)(a) Akta Bank Negara Malaysia 2009 dan terpakai pada semua institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia, serta koperasi kredit yang di bawah kawal selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia, dan Malaysia Building Society Berhad dan AEON Credit Service (M) Berhad. Ini bagi memastikan amalan pembiayaan adalah konsisten merentas semua penyedia kredit yang utama.

Sebagai tambahan kepada langkah-langkah di atas, penyedia kredit yang utama dikehendaki mematuhi nisbah khidmat bayaran hutang yang berhemat dalam penilaian kredit bagi memastikan isi rumah mempunyai penampan kewangan yang mencukupi untuk melindungi mereka daripada kenaikan kos dan kejadian yang tidak dijangka. Isi rumah yang mempunyai kemampuan kewangan untuk mengambil pinjaman akan terus mendapat akses kepada pembiayaan. Bagi menambah baik pengurusan hutang yang bertanggungjawab oleh isi rumah, Bank Negara Malaysia akan mempergiat usahanya dalam menyediakan pendidikan kewangan kepada semua segmen masyarakat, termasuk mereka yang masih muda dan peminjam kali pertama daripada institusi kewangan. Di samping itu, rangka kerja perlindungan pengguna akan terus diperkukuh di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam.

Bank Negara Malaysia
05 Julai 2013



Artikel lain yang boleh dibaca berkaitan isu neh ialah seperti neh : http://www.propertywaltz.com/2013/07/peraturan-baru-bank-negara-pinjaman.html

Dapatkan panduan berkaitan kewangan di http://www.imoney.my/ms

No comments:

Post a Comment