Saturday, August 3, 2013

Nasihat Perjalanan Sempena Cuti Hari Raya Aidilfitri 2013 (PLUS)

CUTI HARI RAYA AIDILFITRI: PLUS GESA ORANG RAMAI PATUHI JADUAL PERJALANAN TTA
Orang ramai digesa supaya merancang perjalanan balik kampung mereka menjelang cuti Hari Raya Aidilfitri yang akan datang berdasarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh PLUS.
Menurut Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid, “TTA memainkan peranan yang amat penting dalam membantu orang ramai merancang perjalanan mereka. Ini memandangkan sebanyak 1.4 juta kenderaan dijangka akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding 1.1 juta kenderaan sehari yang dicatatkan pada hari-hari biasa.”
Jadual TTA terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu dari Lembah Klang ke negeri-negeri dan bandar-bandar utama di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Ia bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza-plaza tol dan kawasan rehat pada waktu-waktu puncak.
“Jadual TTA kali ini memberi fokus kepada perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan di antara 2 hingga 7 Ogos (bagi perjalanan balik kampung) serta di antara 10 hingga 18 Ogos (bagi perjalanan balik ke Lembah Klang). Bagi orang ramai yang menuju ke destinasi-destinasi yang lebih jauh mereka disarankan untuk keluar lebih awal manakala yang hampir dengan Lembah Klang, mereka disarankan supaya memasuki lebuh raya lebih lewat,” tambah Noorizah.
Jadual TTA kali ini turut merangkumi perjalanan orang ramai pada cuti Hari Kemerdekaan iaitu di antara 30 Ogos hingga 1 September.
Noorizah ditemui pada majlis taklimat kepada wakil media berhubung TTA dan persediaan PLUS dalam menghadapi peningkatan trafik yang diadakan di Persada PLUS pada 2 Ogos.
“Kadar pematuhan yang tinggi terhadap jadual TTA oleh orang ramai pada musim-musim perayaan yang lalu membuktikan keberkesanan TTA di mana ia berjaya mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan dan menjadikan perjalanan mereka lebih lancar, selamat dan selesa. Oleh itu, kami berharap orang ramai akan terus memberikan kerjasama dengan mematuhi jadual yang dikeluarkan ketika pulang ke kampung dan kembali semula ke Lembah Klang, kerana keberkesanan TTA bergantung kepada orang ramai,“ kata beliau.

No comments:

Post a Comment